Tiada angin tiada ribut, pelakon dan pengarah iaitu Que Haidar mendedahkan bahawa perkahwinannya dengan Linda Jasmine sudah berakhir pada 2 Julai lalu selepas 15 tahun berumah tangga.
Menurut Que atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Sha Tengku Haidar, keputusan untuk berpisah diambil secara sepakat malah hubungannya dengan Linda masih sangat baik.
Menerima ketentuan ditakdirkan oleh Allah SWT, pelakon berusia 45 tahun itu turut meminta orang ramai untuk mendoakan yang terbaik buatnya dan Linda, lapor Harian Metro.
“Allahuakbar, Alhamdulillah itu (perceraian) yang Allah aturkan. Saya minta semua doakan yang terbaik untuk saya dan Linda. Tetapi kami masih baik, tiada siapa yang mahu bercerai.
“Mungkin jalan ini yang terbaik, kami masih berkawan demi anak-anak. Penceraian kami berlaku pada 2 Julai lalu,” kata bapa kepada dua cahaya mata itu memetik laporan Harian Metro.
Dalam pada itu, Que juga enggan mendedahkan punca perpisahannya dengan guru tari berusia 52 tahun terbabit kerana menyifatkannya sebagai satu perkara yang terlalu peribadi untuk dikongsi.
Aktor itu bagaimanapun bersyukur berikutan kedua-dua anaknya iaitu Ratu dan Cleopatra kini sudah matang dan boleh menerima hal penceraian ibu bapa mereka dengan baik.
“Hal rumah tangga adalah hal peribadi. Perkara seperti ini (penceraian) bukanlah untuk dibanggakan. Lebih baik simpan sendiri, doakan yang terbaik.
“Kami masih saling memberikan sokongan, apa yang terbaik untuk kami berdua dan anak-anak. Tidak ada benda yang perlu diuar-uarkan atau dikongsi.
“Hubungan kami masih sangat baik dan Alhamdulillah anak-anak juga terima semua ini dengan matang. Tiada perbalahan antara kami,” ujar anak kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu.
Untuk rekod, Que dan Linda mendirikan rumah tangga pada 14 Februari 2009 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Tengku Ratu Haidar, 15, dan Tengku Cleopatra Haidar yang kini berusia 12 tahun.
Linda juga mempunyai seorang cahaya mata lelaki iaitu Qalif Khan yang kini berusia 24 tahun daripada perkahwinan terdahulu.
Baca juga: “Asalkan saya cari rezeki yang halal” – Fattah Amin tak kisah digelar tauke kambing