Ikatan perkahwinan antara penyanyi, Adira Suhaimi dengan suaminya iaitu Datuk Red akhirnya terlerai selepas sah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat.
Datuk Red melafazkan cerai talak satu itu pada jam 9.39 pagi tadi di hadapan Hakim Syarie, Abdul Hadi Umar selepas mahkamah membenarkan permohonan plaintif iaitu Adira mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Mahkamah kemudian memerintahkan pemilik nama sebenar Siti Adira Suhaimi untuk menjalani tempoh edah selama tiga kali suci selain mendaftarkan perpisahan mereka selepas perceraian talak satu tersebut disabitkan.
Peguam syarie yang mewakili Adira iaitu Nor Saidah Zakaria memaklumkan bahawa Datuk Red bersetuju untuk melepaskan anak guamnya dengan syarat penyanyi itu tidak menuntut apa-apa hak ke atasnya.
Adira kemudian tampil memberi penjelasan bahawa keputusan untuk tidak menuntut sebarang nafkah iddah mahupun mutaah daripada bekas suaminya itu adalah atas kehendaknya sendiri, lapor Oh Bulan.
Wanita berusia 32 tahun itu mengakui tidak mahu menerima apa-apa dari Datuk Red termasuklah nafkah berikutan memahami situasi terkini bekas suaminya yang kini berada di dalam keadaan susah.
“Yang pasti, saya tidak mahukan apa-apa. Sebabnya, saya tak mahu susahkan lagi Datuk Red. Iyalah, sekarang dia pun tengah ‘down’. Kita doakan yang terbaik sahaja untuk dia.
“Saya percaya kalau rezeki dia murah, akan ada bahagian untuk anak-anak saya,” jelas pelantun lagu Pujaan Hati itu selepas prosiding penceraiannya bersama Datuk Red selesai, memetik laporan Oh Bulan.
Penyanyi kelahiran Sabah itu juga langsung tidak menghalang sekiranya bekas suami berhasrat mahu berjumpa dengan anak-anak mereka berdua hasil perkongsian hidup selama sembilan tahun.
“Buat masa sekarang anak-anak, saya yang jaga. Tetapi saya tidak menghalang sekiranya dia ingin menjenguk, mengikut persetujuan kami sendiri. Saya tak beritahu anak-anak (tentang penceraian).
“Tetapi mereka mesti akan tahu. Sebab mereka sekarang sudah pandai membaca,” kata penyanyi yang diberikan jolokan ‘Ratu Soundtrack’ itu berhubung keadaan empat orang anaknya bersama Datuk Red.
Terdahulu, Adira memfailkan penceraian ke atas suami pada 25 Oktober tahun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat Rawang, Selangor kerana tiada persefahaman.
Adira sebelum ini pernah memfailkan penceraian pada tahun 2019 yang lalu namun membuat keputusan menarik semula permohonan tersebut demi anak-anak mereka.
Pasangan yang menikah di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 itu dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5 dan Ayob yang kini berusia dua tahun.
Sekadar info, isteri pertama Datuk Red iaitu Datin Seri Sharifah Norshafila yang dikenali ramai dengan gelaran Datin Red turut memfailkan penceraian pada bulan Januari lalu.
Baca juga: Terkejut tahu satu sesi ‘live stream’ sama macam 10 tahun gaji, guru tadika nekad berhenti kerja