Malaysia Dateline

Sah Jho Low ada di Macau, bebas bergerak di Hong Kong

Ahli perniagaan paling dikehendaki, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low sah berada di Macau serta dikesan bebas bergerak di Hong Kong.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, individu buruan kerajaan Malaysia itu mendapat perlindungan China.

Pelbagai usaha dilakukan polis, katanya, tetapi kerjasama dengan pihak berkuasa China seolah-olah tidak ikhlas.

Oleh sebab itu, jelasnya, proses ekstradisi Jho Low tidak dilaksanakan sehingga kini, lapor Utusan Malaysia hari ini.

“Usaha membawa pulang Jho Low sudah lama, namun sehingga kini tiada jawapan yang meyakinkan daripada republik berkenaan.

“Jho Low memasuki Macau selepas dikesan berada di Thailand. Dua hari sebelum pengumuman keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Jho Low masih berada di negara ini tetapi dia lari ke negara jiran selepas keputusan diumumkan,” kata Abdul Hamid.

Jho Low yang dikaitkan sebagai perancang utama skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) pernah mendakwa dirinya hanya kambing hitam dalam skandal kewangan berjumlah berbilion dolar itu.

Bercakap kepada media di Singapura awal tahun ini, Low menggambarkan dirinya sebagai orang tengah yang diminta ‘membantu’ hubungan antara kerajaan Malaysia dan pihak di Asia Barat.

Pada Mei lalu, seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB memberitahu mahkamah Jho Low mempunyai akses peribadi kepada rumah Najib di Taman Duta pada bila-bila masa.

Saksi pendakwaan kesembilan, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 50, percaya Najib dan Jho Low adalah sangat rapat berdasarkan kepada tingkah laku dan tindakan serta perangai kedua-dua individu itu apabila bersama.

Shahrol Azral juga mengesahkan bahawa Jho Low terbabit dalam rancangan 1MDB pada 2012 untuk mengambil alih syarikat pengendali loji janakuasa, Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd dengan harga RM10.6 bilion.

Beliau turut memberitahu bahawa Jho Low yang mencadangkan supaya Goldman Sachs bertindak sebagai penasihat kewangan bagi tawaran pengambilalihan Tanjong Energy oleh 1MDB.