Sah Kieda Crepe tak buat cerita, polis dah tangkap 4 penjenayah sekali dengan barang kemas RM400K

Oleh KIM SYAZIE

Susulan tular kes pecah rumah di kediaman usahawan pencuci mulut, Kieda Crepe, polis mendedahkan telah pun menahan empat suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian itu.

Menurut laporan, empat individu termasuk dua wanita direman enam hari sehingga 11 Jun ini bagi membantu siasatan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintenden Zulkeflee Sulaiman berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 20 hingga 27 tahun itu ditahan di Jalan Duta, Kuala Lumpur antara jam 9 hingga 10 pagi, Khamis.

Menurutnya, polis turut merampas barangan kemas bernilai RM40,000 dipercayai milik usahawan tersebut.

“Ketika ditahan, kita hanya berjaya merampas barangan kemas bernilai RM40,000 yang mana, kita percaya, suspek telah menjual sebahagian barangan kemas yang telah dicuri.

“Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan terhadap empat suspek berkenaan. Mereka akan direman enam hari untuk membantu siasatan.

“Setakat ini, kita belum dapat memastikan hubungan keempat-empat suspek ini, sama ada pasangan kekasih atau suami isteri,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Beliau juga tidak menolak akan ada lagi tangkapan untuk membantu siasatan berhubung kes terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Sebelum ini, media melaporkan Kieda Crepe mengalami kerugian sehingga RM800,000 apabila rumahnya di Kepala Batas telah dipecah masuk penjenayah pada April lalu.

Baca juga: Patutlah tepung susah melekat, rupanya lupa letak satu bahan ini bila goreng Sotong