Malaysia Dateline

Sah Najib bersalah atas tujuh pertuduhan

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak didapati bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan berhubung dana RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd.‬

‪Keputusan disampaikan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Najib didapati bersalah di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang antara lain boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.

“Kesimpulannya, dalam penghakiman saya, setelah mempertimbangkan semua bukti yang dikemukakan di mahkamah ini, saya dapati pihak pembelaan tidak berjaya membantah anggapan mengenai keseimbangan kemungkinan atau menimbulkan keraguan munasabah terhadap tuduhan terhadap tertuduh di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009,” kata Mohd Nazlan.

Mohd Nazlan Mohd Ghazali

 

Najib, 67, berdepan masing-masing tiga dakwaan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa pada 4 Julai 2018 atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos 2018 pula, beliau dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah dan dari dana sama.

Suami kepada Datin Seri Rosmah Mansor itu didakwa melakukan kesalahan terbabit antara 17 Ogos 2011 dan 10 Februari 2015.

Sebanyak 2,000 muka surat hujahan yang panjang dan lengkap daripada kedua-dua pihak selepas hampir dua tahun satu bulan kes perbicaraan tersebut berlangsung.

Sejumlah 750 eksibit dikemukakan termasuk dokumen bank, transaksi tunai, minit mesyuarat dan perbualan menerusi Blackberry Messenger sepanjang perbicaraan yang turut mendapat perhatian dunia itu.