Malaysia Dateline

Sah ‘perang’ enam penjuru di PRK Tanjung Piai

Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai pada 16 November ini bakal menyaksikan pertandingan enam penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), calon Barisan Nasional (BN), Berjasa, Gerakan dan dua calon Bebas.

Pegawai Pengurus PRK P.078 Zulkifly Mohd Tahir berkata, pihaknya telah menerima kertas penamaan daripada enam calon dan tiada borang pencalonan yang ditolak.

“Mereka yang telah mengemukakan kertas-kertas penamaan adalah seperti berikut: Karmaine Sarbini (PH) pada jam 9.03 pagi, Wee Jeck Seng (BN) pada 9.06 pagi, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) pada 9.09 pagi, Dr Ang Chuan Lock (Bebas) pada 9.12 pagi, S. Wendy Subramaniam (Gerakan) pada 9.14 pagi, dan Faridah Aryani Abd Ghafar (Bebas) pada 9.26 pagi.

“Saya telah menyemak kertas-kertas penamaan dan selepas selesai disemak, saya berpuas hati. Tiada calon yang ditolak kertas penamaannya,” katanya pada sidang media di pusat penamaan calon PRK P.165 di Dewan Jubli Intan Pontian pukul 11.02 pagi tadi.

Karmaine adalah Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjung Piai manakala Dr Wee Jeck Seng merupakan Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai.

Wee adalah bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan juga Ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal bermula 2008, sebelum tewas kepada penyandang Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik.

Sementara itu, Badhrulhisham, 56, seorang bekas pensyarah berasal dari Muar manakala Ang, 49, merupakan pemilik pusat tuisyen.

Cabutan nombor pada kertas undi menyaksikan Wendy mendahului senarai diikuti Wee, Ang, Karmaine, Badhrulhisham manakala Faridah pada kedudukan terakhir.

Sebelum ini, Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia (GTSM), Kamarudin Mohd Hussain menyatakan hasrat untuk bertanding di Parlimen Tanjung Piai, namun beliau tidak muncul.

Hari pengundian awal ditetapkan pada 12 November ini yang akan melibatkan 280 pengundi awal daripada jumlah keseluruhan pengundi iaitu 52,986.

Seramai 52,698 pengundi biasa akan membuang undi pada 16 November di 125 saluran mengundi iaitu masing-masing 60 dan 65 saluran di N.55 Pekan Nanas dan N.56 Kukup.

Dari segi jantina, sebanyak 50.52 peratus iaitu 26,769 orang terdiri daripada pengundi lelaki manakala pengundi berusia 30 hingga 39 tahun mewakili segmen pengundi terbesar iaitu 12,012 orang (22.67 peratus) diikuti pengundi 40 hingga 49 tahun seramai 11,055 orang iaitu 20.86 peratus.

Seramai 1,019 petugas pilihan raya terlibat dalam PRK P.165 Tanjung Piai yang merupakan PRK kesembilan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

PRK Tanjung Piai juga merupakan PRK kali pertama selepas pemeteraian rasmi Muafakat Nasional antara Pas-Umno selepas penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 21 September lalu.

Allahyarham memenangi kerusi Parlimen tersebut pada PRU-14 lalu yang membabitkan saingan tiga penjuru dengan majoriti 524 undi menewaskan Wee Jeck Seng.