Kertas siasatan berhubung kejadian bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Abdul Taib Mahmud yang dibawa keluar dari sebuah hospital swasta sudah dilengkapkan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan kertas siasatan tersebut sudah dihantar pihaknya ke Pejabat Pendakwaan Negeri Sarawak pada 9 Februari.
Pada masa yang sama, Razarudin turut mengesahkan bahawa tokoh berpengaruh berusia 87 tahun itu sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta di ibu kota.
Baru-baru ini, tular satu khabar yang mendakwa Abdul Taib dibawa ke Kuala Lumpur dengan menggunakan pesawat khas pada Jumaat lalu, sekitar pukul 4 petang.
Mengulas lanjut, Razarudin mengakui laporan polis yang tersebar di media sosial itu adalah sahih dan siasatan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan telah dijalankan.
Siasatan bagaimanapun tidak menjurus kepada dakwaan melarikan, sebaliknya lebih kepada perbuatan yang mungkin membahayakan kesihatan Taib, lapor Berita Harian.
“Tiada istilah dilarikan, kerana (individu) yang membawa keluar dan balik ke rumah adalah isteri bekas Yang di-Pertua Negeri itu.
‘Kertas siasatan sudah dihantar ke Pejabat Pendakwaan Negeri Sarawak pada 9 Februari 2024 dan masih menunggu arahan lanjut,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Untuk makluman, Seksyen 336 Kanun Keseksaan adalah membabitkan perbuatan cuai sehingga membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.
Sehubungan dengan itu, Razarudin menasihati orang ramai untuk tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak benar hingga boleh menimbulkan pelbagai spekulasi.
Terdahulu, tular satu laporan mendakwa seorang ahli keluarga bertindak mencabut peralatan perubatan pada tubuh Taib yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).
Bekas pemimpin tertinggi Sarawak itu kemudian diletakkan di atas kerusi roda dan diusung keluar dari Pusat Pakar Perubatan Normah di Kuching sebelum dibawa menaiki sebuah kenderaan.
Sekadar info, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud merupakan bekas Ketua Menteri paling lama berkhidmat di Bumi Kenyalang daripada tahun 1981 sehinggalah 2014.
Abdul Taib kemudian berkhidmat selama tiga penggal sebagai Gabenor Sarawak dari 1 Mac 2014 sehingga 26 Januari tahun ini, apabila Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menggantikannya.
Baca juga: Syarikat Hermes untung besar, semua kakitangannya dapat bonus RM20,546