Malaysia Dateline

Sah terima usul cadang khidmat ditamatkan

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengesahkan telah menerima usul mencadangkan supaya khidmatnya ditamatkan.

Menurutnya, Nga Kor Ming turut menerima usul cadangan supaya khidmat Timbalan Speaker itu ditamatkan.

Kedua-dua usul itu diterima mengikut amalan biasa dan selari dengan Peraturan Majlis Mesyuarat serta tanpa berat sebelah, kata Mohamad Ariff.

“Terpulanglah kepada Dewan untuk memutuskannya mengikut lunas-lunas Perlembagaan. Saya tiada masalah secara peribadi selagi proses demokrasi dan Perlembagaan dipatuhi,” dipetik Bernama.

Pada 8 Mei lalu, Mohamad Ariff memaklumkan menerima usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Usul itu dikemukakan oleh bekas perdana menteri yang juga Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada 4 Mei di bawah Peraturan Mesyuarat 26(1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27(3).

Sementara itu, Nga yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan mengesahkan usul itu dibawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan diserahkan kepada Dewan Rakyat pada petang kelmarin.

Nga yang juga Timbalan Setiausaha Agung DAP sebelum ini dilapor berkata, beliau akan menghormati keputusan Dewan Rakyat.