Sah, Vivy Yusof umum letak jawatan lepas jadi punca PNB, Khazanah rugi lebih RM43 juta

Oleh KIM SYAZIE

Usahawan fesyen terkenal, Vivy Yusof membuat permohonan maaf secara terbuka dan mengambil sepenuh tanggungjawab terhadap kegagalan Fashion Valet sehingga memberi kerugian kepada Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB).

Kerugian ditanggung kedua-dua entiti terbabit berjumlah RM43.9 juta.

Entiti itu melabur sebanyak RM47 juta (Khazanah: RM27 juta, PNB: RM20 juta) untuk pegangan minoriti masing-masing dalam syarikat berkenaan pada 2018.

Serentak dengan permohonan maaf terbuka yang disiar di Instagram, Vivy dan suaminya Datuk Fadzarudin Anuar mengumumkan bakal melepaskan jawatan sebagai pengasas bersama dalam Fashion Valet Sdn Bhd (FashionValet)

“Ramai yang bertanya apa yang dah terjadi. Sebenarnya kami cuba mengembangkan perniagaan secara agresif, tapi tidak membuat perancangan yang cukup untuk waktu kecemasan. Kami melabur dengan sangat banyak dalam keperluan teknologi, mengembangkan pasukan terlalu cepat dan menambah banyak kedai.

“Kami buat silap dan jangka akan berlaku pertumbuhan berterusan, namun apabila pandemik Covid-19 melanda, kami tersilap. Kami cuba kurangkan kos termasuk tutup platform e-dagang, tetapi keadaan jadi lebih buruk,” katanya.

Kata Vivy, dia dan suami cuba untuk mengembangkan perniagaan, membangunkan pasukan terbaik dan melabur dalam bidang teknologi demi syarikat, namun tidak dinafikan ia terlalu agresif serta tiada perancangan teliti.

Vivy turut menjelaskan, sebagai individu yang bertanggungjawab menguruskan syarikat, beliau mengakui kecewa dan kesal dengan diri sendiri sebaik berita kerugian tersebut heboh di media sosial.

“Khazanah dan PNB sentiasa bertindak profesional demi kepentingan organisasi. Kami berharap kekecewaan ini tidak menjadi penghalang buat mereka untuk terus menyokong usahawan tempatan yang lain.

“Rasanya sudah tiba masa untuk kami melangkah keluar daripada perniagaan dan melepaskan jawatan.

“Kami tidak mahu isu-isu seterusnya menjejaskan syarikat memandangkan ia sedang berada dalam fasa pemulihan,“ katanya lagi.

Baca juga: Lali dikecam, Ira Kazar terkilan lihat bapa jadi mangsa netizen