Malaysia Dateline

Sah warga Kanada pengsan di KLCC disyaki koronavirus dibawa ke HKL

Seorang warga Kanada telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana disyaki positif novel koronavirus 2019 (2019-nCoV).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya akan terus berhubung dengan HKL bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara tersebut.

“Saya pun baru dapat maklumat mengenainya. Saya kira pasukan Hazmat (Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya) datang dengan pakaian yang lengkap dan berjaga-jaga.

“Pesakit telah dibawa ke HKL. Kami akan dimaklumkan perkembangan mengenai kes itu nanti. Apa pun kami akan terus berkomunikasi dengan pihak di sana,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan media mengenai beberapa foto tular pasukan Hazmat dan anggota polis yang dilihat berada di Menara 3 Petronas, bangunan KLCC, pagi tadi.

Individu terbabit merupakan seorang remaja perempuan warganegara Kanada berusia 17 tahun.

Terdahulu, tular foto dan maklumat menerusi aplikasi WhatsApp yang mendakwa pasukan Hazmat hadir susulan panggilan yang diterima daripada Twin Tower Medical Clinic (TTMC) mengenai seorang individu yang didakwa disyaki positif 2019-nCoV.

Maklumat itu memberitahu individu berkenaan dilaporkan pengsan ketika berjalan di kawasan tempat letak kereta di Tower 3 berhampiran TTMC.

Hasil pemeriksaan awal mendapati individu berkenaan positif 2019-nCoV dakwa maklumat itu lagi.

Pasukan polis dan Hazmat datang ke kawasan KLCC hari ini.