Sahabatku warga sesama arkitek dan Kuala Kangsar

Sahabatku warga sesama arkitek dan Kuala Kangsar

Saya menerima dengan pilu berita sahabat saya , YB Dato Wan Mohd Khair-il Anuar Wan Ahmad, yang terkorban dalam trajedi helikopter pada 5 Mei 2016.

Kebetulan pada petang yang sama saya sedang menyusur keluar dari Semop menuju Sibu melalui sungai.

Tidak diduga cuaca yang mendung dan hujan membawa nasib malang kepada sahabat saya.

Yang Berhormat Wan Mohd Khair-il bukan hanya merupakan rakan sesama Arkitek, tetapi asal usul keluarga ayah kami memang dari Kuala Kangsar bandar bersejarah di Raja.

Sepanjang kenalan kami di Parlimen, walaupun dari dua pihak ‘lawan’ kerajaan dan pembangkang, kami sering berbual tentang profesion arkitek kami serta minat kami tentang warisan sejarah Kuala Kangsar tempat asal ayah dan nenek kami bersama.

Bukan kesemua arkitek meminati warisan sejarah tetapi saya menemui rakan sejiwa pencinta warisan budaya dengan Allahyarham.

Malahan beliau menyebut ingat Allahyarham ayahanda saya membawa kereta antik yang beliau minati bersiar-siar di Kuala Kangsar.

Selain sejarah, kami banyak berbincang panjang lebar tentang kepentingan profesion arkitek kami semasa pembentangan pindaan rang undang- undang akta arkitek tahun lepas.

Kami bersependapat dalam isu tersebut dan saling sokong menyokong satu antara lain semasa perdebatan tersebut walaupun beliau dari kerajaan dan saya pembangkang.

Itu lah semangat profesionalisma beliau yang menyatukan dua rakan arkitek walaupun dari dua pihak bertentangan.

Semangat profesionalisma dan pencinta sejarah warisan yang kami kongsi telah mengujudkan jalinan persahabatan baik dalam waktu singkat selama tiga tahun kami mengenali satu antara lain di Parlimen.

Saya juga mengenali Allahyarham sebagai seorang yang baik perkerti dan menghormati sesama rakan di Parlimen.

Semoga Allah mencucuri rahmat Sahabatku dan tempatkan Allahyarham di kalangan orang yang Solleh hendaknya.

Semoga ahli-ahli Parlimen lain dapat menjalin hubungan seperti kami bersama walaupun dari pihak yang berbeza parti demi Agama dan Negara.

Raja Kamarul Bahrin Shah ialah Ahli Parlimen Amanah Kuala Terengganu.

COMMENTS

Wordpress (0)