Malaysia Dateline

Saham AirAsia menyusut pada sesi dagangan pagi

Saham AirAsia Group Bhd menyusut pada sesi dagangan pagi ini selepas mencatatkan kerugian bersih RM394.97 juta pada suku keempat berakhir 31 Dis, 2018 berbanding keuntungan bersih RM372.65 juta bagi tempoh sama pada 2017, berikutan perbelanjaan bahan api dan perbelanjaan operasi yang tinggi.

Bagi tahun penuh itu, syarikat penerbangan tambang rendah itu mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM1.98 bilion berbanding RM1.63 bilion.

Pada 11.45 pagi, AirAsia  turun 24 sen kepada RM2.80, dengan 44.87 juta saham bertukar tangan.

Hasil pada suku itu meningkat kepada RM2.82 bilion daripada RM2.66 bilion sebelumnya manakala hasil bagi tahun penuh melonjak kepada RM10.60 bilion daripada RM9.71 bilion.

Public Investment Bank mengekalkan saranan “outperform” ke atas AirAsia tetapi pada harga sasaran lebih rendah pada RM3.50 daripada RM4.14 sebelumnya.

— BERNAMA