Malaysia Dateline

Saham Azam Baki: Teruskan mesyuarat PSC secepat mungkin, gesa pembangkang

Mesyuarat bagi membincangkan isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki mesti diteruskan, tegas Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Bagi Agensi-Agensi di Bawah Jabatan Perdana Menteri daripada pembangkang.

William Leong Jee Keen (PKR-Selayang) berkata pihaknya merayu Pengerusi Jawatankuasa itu Abdul Latiff Abdul Rahman (Pas-Kuala Krai) untuk mengadakan mesyuarat tersebut secepat mungkin walaupun Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah membuat keputusan memandangkan ia melibatkan isu berkepentingan awam.

“Sekarang (mesyuarat) ditangguhkan, kita sedang menunggu nasihat daripada penasihat undang-undang Parlimen.

“Kita merayu kepada Pengerusi untuk mengadakan mesyuarat dengan secepat mungkin kerana ini adalah isu kepentingan awam,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Sementara itu, Khoo Poay Tiong (DAP-Kota Melaka) berkata jawatankuasa tersebut harus bermesyuarat untuk meneliti keseluruhan kes berkenaan termasuk jumlah pemilikan saham oleh seorang penjawat awam.

Terdahulu, mesyuarat tersebut yang dijadual sepatutnya berlangsung dengan memanggil Azam Baki, ditangguhkan ekoran terdapat beberapa isu perundangan.

Abdul Latiff dilapor semalam berkata, isu yang “agak rumit” itu menyebabkan Pejabat Penasihat Undang-Undang Parlimen memerlukan masa dan tidak dapat memberikan jawapan segera.

Sebelum ini, tiga lagi ahli PSC selain William Leong, iaitu Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Azis Jamman; Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin’ dan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong membantah keputusan penangguhan mesyuarat berkenaan.

Kata mereka, antara isu yang dibangkitkan Azam ialah beliau telah pun memfailkan saman sivil terhadap seorang pemberita dan tiada sesiapa dibenarkan membincangkan fakta kes atau memberikan komen terhadap hal tersebut yang kini menjadi perkara mahkamah (subjudis).

Jawatankuasa itu juga dianggotai Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman; Datuk Mohd Nizar Zakaria (Parit); Anyi Ngau (Baram) dan Shaharizukirnain Abd Kadir (Setiu).

Kelmarin, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam kenyataan merumuskan bahawa berdasarkan siasatan, ia tidak dapat membuktikan terdapat pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) berhubung pemilikan saham menerusi akaun dagangan Azam.

Pengawal selia pasaran modal tempatan itu dilaporkan berkata, SC membuat kesimpulan dalam siasatannya itu berdasarkan bukti yang dikumpulkan.