Malaysia Dateline

Saham Brahim’s tinggi susulan rancangannya untuk keluar dari status PN17

Saham Brahim’s Holdings Bhd diniagakan secara aktif di Bursa Malaysia dan meningkat pagi ini susulan laporan bahawa penyedia perkhidmatan katering dalam penerbangan itu merancang keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17).

Semalam, syarikat itu mengumumkan cadangannya untuk menyemak semula struktur modal dan perniagaannya dalam usaha mematuhi ketetapan penyenaraian Bursa Malaysia.

“Kami tidak merancang untuk dinyahsenarai dan berazam untuk keluar daripada status PN17 berkenaan.

“Kami juga berada dalam perniagaan yang tepat dan sebagai penggiat utama halal global, kami mahu memberi jaminan kepada pemegang saham, pelanggan, pembekal, rakan usaha saham dan pekerja bahawa operasi perniagaan tidak terjejas dengan status itu,” kata Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Ibrahim Ahmad pada sidang media semalam.

Syarikat itu merancang mengemukakan pelan regularisasi dalam tempoh tiga bulan akan datang selepas perundingan dengan bakal prinsipal utama.

Pada 11.45 pagi, saham Brahim’s meningkat empat sen kepada 15 sen, dengan 29.53 juta unit diniagakan.

— BERNAMA