Saham Genting Malaysia susut berikutan pertikaian undang-undang berterusan

Saham Genting Malaysia susut berikutan pertikaian undang-undang berterusan

Saham Genting Malaysia Bhd di Bursa Malaysia susut pada sesi pagi hari ini, disebabkan pertikaian undang-undang yang berterusan antara kumpulan resort kasino Malaysia itu dengan FOX dan The Walt Disney Company.

Pada rehat tengah hari, harga saham tersebut merosot 11 sen kepada RM3.15 dengan 20.14 juta saham bertukar tangan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia Wednesday, Genting Malaysia berkata Fox Entertainment Group LLC, Twentieth Century Fox Film Corp dan FoxNext LLC (dikenali sebagai FOX) pada 22 Jan, telah memfailkan tuntutan balas US$46.4 juta (RM191.7 juta) daripada kumpulan itu, mendakwa melanggar perjanjian dengan niat yang baik dan urusan yang adil.

Selain itu, Genting Malaysia berkata FOX menuntut sejumlah RM191.7 juta berhubung yuran lesen tahunan, jumlah jaminan/royalti dan pembayaran balik perjalanan menurut memorandum perjanjian (MoA) yang ditandatangani pada 1 Jun, 2013, sebagaimana yang dipinda, serta ganti rugi yang berbangkit, kos yang munasabah dan pelepasan lain di bawah undang-undang yang terpakai.

“Genting Malaysia dalam proses mengkaji semula perkara itu dengan penasihat undang-undangnya dan berhasrat untuk memberi respons dan akan membuat sebarang pengumuman yang perlu berhubung perkara tersebut apabila sesuai atau apabila terdapat perkembangan lanjut,” katanya.

Sebelum ini, Genting Malaysia memfailkan saman berjumlah lebih US$1 bilion (RM4.13 bilion) terhadap FOX dan The Walt Disney Company kerana menamatkan kontrak mereka untuk membangunkan taman tema jenama Fox di Resorts World Genting di Malaysia.

— BERNAMA