Malaysia Dateline

Saham IHH susut berikutan ketegangan meningkat di Timur Tengah

Saham IHH susut dalam dagangan awal hari ini berikutan ketegangan geopolitik yang meningkat di Timur Tengah berikutan pembunuhan seorang jeneral Iran di Baghdad, Iraq minggu lepas.

Seorang penganalisis berkata IHH yang telah berkembang dengan pesat di Timur Tengah serta India dan China terlibat dalam situasi yang tidak menggalakkan berikutan ketidakstabilan di rantau yang kaya dengan minyak itu.

“Sehingga keadaan (di Timur Tengah) reda, saham akan menerima tekanan berikutan kedudukan perniagaannya di Timur Tengah. Buat masa ini, rantau itu ‘panas’,” katanya kepada Bernama.

IHH merupakan kumpulan penjagaan kesihatan swasta Malaysia–Singapura yang memberi tumpuan kepada perkhidmatan kesihatan pasaran mewah dan kumpulan penjagaan kesihatan swasta terbesar di Asia.

Ia mengendalikan hospital swasta dan sektor kesihatan di seluruh Asia, Eropah Tengah dan Timur, Afrika Utara dan Timur Tengah.

Sehingga 10.20 pagi, saham IHH merosot enam sen kepada RM5.56 dengan 77,900 saham bertukar tangan.

— BERNAMA