Malaysia Dateline

Saham Muhibbah meningkat walaupun kontrak ditamatkan

Saham Muhibbah Engineering (M) Bhd di Bursa Malaysia meningkat pagi ini, naik enam sen kepada RM3.05 pada 9.51 pagi, walaupun berita melaporkan mengenai penamatan kontrak syarikat.

Sebanyak 452,200 saham bertukar tangan.

Penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu dilaporkan telah menerima surat penamatan dari Lembaga Pelabuhan Bintulu (BPA) mengenai kerja-kerja pembinaan dermaga, jeti dan kemudahan lain yang berkaitan dengan Pelabuhan Bintulu, yang sedang dijalankan.

Muhibbah bersama rakan usaha samanya, Viccana Sdn Bhd (51:49) sebelum ini memperoleh kontrak RM584.8 juta pada April 2017, dengan jangka masa pembinaan selama kira-kira 30 bulan.

Kenanga Research percaya penamatan yang tidak dijangkakan itu mungkin disebabkan oleh keputusan BPA untuk menangguhkan rancangan pengembangannya.

“Kami terkejut dengan penamatan itu, memandangkan kami tidak menjangkakan BPA akan menghentikan kerja-kerja pembinaan dermaga berkenaan.

“Berdasarkan andaian kami, tahap pembangunan semasa kerja-kerja pembinaan itu sudah mencapai 50 peratus atau lebih, dan baki nilai perolehan tertunggak menyusut daripada RM2.0 bilion kepada RM1.8 bilion selepas penamatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenanga Research berkata Muhibbah masih mempunyai nilai projek dalam tangan untuk tempoh dua tahun.

Firma penyelidikan itu menjangkakan syarikat berkenaan akan dapat mengekalkan momentum pertumbuhannya, didorong oleh trafik dari China.

“Kami mengekalkan pendapatan tahun anggaran 2018-2019 kami sedia ada walaupun penamatan tersebut kerana kami menjangkakan Muhibbah akan memperoleh pampasan daripada BPA untuk mengimbangi kehilangan pendapatan, iaitu kurang daripada lima peratus daripada pendapatan FY19E,” katanya.

— BERNAMA