Saham Sime Darby susut 4.3 peratus pada tengahari ini

Saham Sime Darby susut 4.3 peratus  pada tengahari ini
Saham Sime Darby Plantation Bhd (SDP) susut 4.3 peratus atau 21 sen kepada RM4.70 setakat rehat tengah hari ini, dengan 5.75 juta saham bertukar tangan.

Saham paling rugi dalam kalangan saham wajaran tinggi berkaitan indeks itu terus mengalami tekanan selepas ia menfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap kerajaan Melaka, Pejabat Tanah dan Galian negeri Melaka, Pejabat Daerah dan Tanah Jasin serta GI A Resources Sdn Bhd, atas dengan salah menjalankan pengambilalihan wajib tanah seluas 75 hektar di Merlimau.

Baru-baru ini dilaporkan bahawa pihak berkuasa berkenaan di Melaka masih mengeluarkan Borang H (Notis Award dan Tawaran Pampasan), menawarkan pampasan berjumlah RM34.50 juta kepada SDP, di samping RM35.28 juta bagi tanah, tiga hari selepas tindakan undang-undang berkenaan difailkan pada 29 April.

Justeru itu, SDP mendakwa tindakan pentadbir tanah tersebut dalam mengeluarkan Borang H sebagai konspirasi untuk membantu pengambilalihan tanah berkenaan demi kepentingan GI A Resources yang dikawal Taiwan.

Ia juga memohon mahkamah mengeluarkan injunksi sementara bagi menghalang kerajaan Melaka, Pejabat Tanah dan Galian negeri Melaka dan GI A Resources Sdn Bhd (responden) daripada melaksanakan sebarang langkah seterusnya untuk memudahkan pengambilalihan wajib tanah itu.

Sementara itu, SDP juga dilaporkan merancang untuk membeli kilang penapisan di Amerika Latin susulan tekanan margin yang lemah serta peningkatan kos dalam operasi Malaysia.

Syarikat tersebut menyediakan RM400 juta untuk dilaburkan dalam usaha itu.- BERNAMA