Malaysia Dateline

Sahkan segera doktor kontrak, masukkan segera graduan perubatan

Kerajaan dicadangkan agar menyerap segera doktor kontrak dan memasukkan segera graduan perubatan yang sedang menunggu panggilan tugas untuk membantu memerangi Covid-19.

Menurut Pengarah Komunikasi AMANAH Pulau Pinang, yang juga pakar perubatan, Dr Zaidi zakaria, langkah ini perlu dilakukan segera oleh kerajaan khasnya Kementerian Kesihatan untuk membantu barisan depan yang sudah mulai letih.

“Antara tindakan yang boleh diambil ialah semua doktor-doktor kontrak anak Malaysia diserap segera sebagai penjawatan tetap, malahan ribuan graduan perubatan yang menanti panggilan perlu segera menjalani ‘Housemanship’ atau H. O. yang bukannya untuk diletakkan di barisan hadapan, sebaliknya mereka tetap di hospital menjalani latihan perubatan.

“Dakwaan yang menyatakan jumlah kedua-dua kumpulan ini yang dianggarkan sebanyak 10,000 orang merupakan suatu jumlah yang besar dan harus diberi perhatian serius,” kata beliau kepada Malaysia Dateline.

Pandemik Covid-19 negara kini memasuki fasa yang sangat sukar apabila jumlah kes aktif meningkat dan frontliners tidak berupaya bertindak dengan pantas ekoran terlalu banyak kes.

Selain itu, saringan kontak segera perlu dilaksanakan bukan sahaja di satu tempat, sebaliknya beberapa tempat sekaligus pada satu masa, bahkan yang telah menjalani ujian saringan juga lambat untuk menyatakan keputusan ujian serta tindakan segera.

“Ujian saringan yang pantas mesti dilaksanakan kerana ujian ‘Gold Standard’ PCR selalunya mengambil masa lebih kurang 48 jam.

“Namun begitu terdapat ujian yang pantas dimana keputusan boleh diperolehi dalam masa 6 jam iaitu kaedah RTK yang lebih murah walaupun ianya bukan ujian ‘Gold Standard, ” tegas beliau.

Dr Zaidi, seorang pakar perubatan kanak-kanak di Pulau Pinang juga berkata ujian kaedah RTK wajar digunakan walaupun ada kelemahan kerana ia jua mempunyai kelebihan dimana sekiranya positif maka ianya cepat untuk bertindak mengasingkan kes positif dari keluarga dan masyarakat.

Tambah beliau, dengan proposal ini kemungkinan ia mampu untuk membantu menyegerakan usaha menyekat penularan pandemik Covid-19 dalam negara ini.