Said  Zahari lagenda tidak terkalahkan

Said Zahari lagenda tidak terkalahkan

Said Zahari dan isterinya Salmah WahabHanya sesekali dalam sesuatu zaman, seorang tokoh besar lahir untuk mewarnai zamannya. Lebih dari itu untuk mengisi erti kemanusiaan dan kebebasan, serta untuk menjadi jurubcara masyarakat dan zamannya.

Pada sepanjang zaman, memang ramai tokoh yang muncul dalam pelbagai bidang, tetapi hanya sejumlah kecil yang benar-benar mampu melaksanakan tugas itu.

Malah dalam jumlah yang kecil itu pula, lebih kecil lagi yang bertahan dan mampu mendambakan dirinya terhadap cita-citanya hingga akhir hayat walaupun menghadappi badai dan gelombang.
Tokoh itu, antaranya, ialah wartawan ulung Said Zahari, yang baru minggu lalu meninggal dunia dalam umur 88 tahun.

Allahyarham mencipta sejarah perjuangan kebebasan akhbar apabila memimpin mogok Utusan pada tahun 1961, tahun yang penuh gelora, ketika Umno mula mahu menguasai akhbar tersebut. Maka Said – ketika itu Pengarang Utusan – dan kawan-kawannnya – antaranya Husein Jahidin, Ahmad Sanusi, Zailani Sulaiman, Samani Amin,Tajudin Qahar dan lain-lain melancarkan mogok membantah penguasaan Umno terhadap akhbar tersebut.

Mogok ini menjadi sebahagian dari sejarah yang mempunyai maknanya tersendiri negara ini, terutama dalam perjuangan kebebasan akhbar.

Allahyarham merengkuk dalam penjara selama 17 tahun di Singapura di bawah ISA. Beberapa tahun terakhir pemenjaraannya, Allahyarham ditahan di Pulau Ubin, Singapura hingga dibebaskan.

Petang minggu lalu, ketika saya hadir untuk solat jenazah Allahyarham di Masjid Al-Falah, USJ Subang Jaya bersama kenalan yang lain, saya merenung sebentar mayat Allahyarham, tergenang air mata mengenang masa lalu, saat beberapa kali menemuinya di rumahnya di USJ dan Shah Alam, berbincang mengenai beberapa buku memoir yang ditulisnya.

Teringat ketika Allahyarham bersama isterinya berkunjung ke rumah saya di Subang Jaya bersama isterinya, Kak Salmah Wahab, seorang isteri teladan yang sangat setia mendampingi suaminya dalam tempoh senang dan sukar.

Turut menziarahi Allahyarham ialah para sahabat Allahyarham, Dr. Syed Husein Ali, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, pakar ekonomi, Prof. KS Jomo, bekas senator Tuan Syed Shahir, Dinsman, wartawan Haji Koya Kutty, Thian Chua, peguam Latefah Koya, aktivis Adam Adli, dan ramai lagi tokoh dan aktivis.

Allahyarham sangat teguh dengan prinsip perjuangannya di mana hingga akhir hayatnya, menurut mereka yang mengunjunginya, masih bercakap mengenai kebebasan media.

Maka perjuangannya ini tidak terkalahkan, membenarkan kata-kata Mahatma Ghandi:

“You can arrest me, you can jail me, but you cannot defeat me.” Sama seperti apa yang diucapkan oleh Santiago dalam novel Ernest Hamengway, Old Man And The Sea’: “You can destroy people, but you cannot defeat people.”

Ternyata Allahyarham Said menepati kata-kata ini.Maka perjuangannya ini menyebabkan kita terus memperingatinya, bukan semata-mata kerana nama besarnya, tetapi kerana usahanya menjadi besar.

Ketika berkunjung ke rumah saya bersama isterinya di hari raya, beberapa tahun lalu, Allahyarham Said bercerita mengenai perjuangannya di masa lalu dan mengharapkan generasi baru meneruskan perjuangannya membebaskan media dari pelbagai kongkongan. Beliau berazam untuk terus menulis.

Sahabat karib Allahyarham, Sasterawan Negara, Usman Awang, semasa hayatnya, sangat menggalakkannya meneruskan penulisan memoirnya, terutama mengenai mogok Utusan supaya dipanjangkan lagi, justru bagi Usman, mogok itu memiliki tempatnya sendiri dalam sejarah tanah air. Sebuah perjuangan antara keringat dan air mata.

Allahyarham Said pernah menerima Anugerah Tokoh Penulis Selangor besempena perasmian Pesta Buku Selangor dan Hari Ilmu 2012 di Pusat Konvensyen Shah Alam, anjuran Kerajaan Nengan dengan kerjasama Paksi (Seniman Paksi Rakyat).

Sebelum ini Allahyarham juga pernah diraikan sebagai tokoh kebebasan media oleh sebuah NGO dibawah pimpinan wartawan Ahmad Lutfi Othman, tokoh yang terus menerus memperjuangkan kebebasan media.

Kini walaupun Allahyarham sudah tidak bersama kita lagi, tetapi dua buah buku memoirnya – Meniti Lautan Gelora, Dalam Ribuan Mimpi Gelisah serta sebuah antologi sajaknya, ‘Puisi Dari Penjara’ – sentiasa mengingatkan kita akan kehadirannya dan sumbangannya. Ertinya ia hadir dan mengalir.

Semuanya menjadi rangkaian sejarah yang tidak akan terpadamkan, justru sejarah itu sendiri adalah dokumen yang terus diperkatakan, walaupun dengan pelbagai tafsiran.

Akhirnya kita memohon doa kepada Ilahi semoga roh Allahyarham dan isterinya dicucuri rahmat-Nya.

TAGS