AlFatihah, Said Zahari selamat dikebumi

AlFatihah, Said Zahari selamat dikebumi

Tokoh kebebasan akhbar, Said Zahari selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan USJ 22 menjelang Maghrib tadi. Terdahulu, jenazahnya disembahyangkan di Masjid Al-Falah USJ, Subang Jaya, Selangor.

Antara pemimpin yang hadir menziarahi adalah bekas Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali; Naib Presiden PKR, Tian Chua serta Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Turut hadir bekas wartawan Berita Harian yang kini kolumnis akhbar Amanah, A Shukur Harun; peguam Fadiah Nadwa Fikri serta aktivis anak muda, Adam Adli.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.30 tengah hari pada usianya bakal menjejak 88 tahun pada 18 Mei depan.

Said Zahari, tokoh pejuang rakyat tulen meninggal dunia

AlFatihah untuk Said ZahariTokoh dalam bidang persuratkhabaran dan aktivitis politik tanah air itu meninggal dunia pada tengah hari tadi ketika usianya bakal menjejak 88 tahun pada 18 Mei depan.

Anak bekas wartawan dan editor di Utusan Melayu itu, Norman Said melalui catatan di Facebook memberitahu ayahnya kembali ke Rahmatullah pada jam 12.30 tengah hari.

Sumber dari keluarga Allahyarham memaklumkan jenazah dijangka tiba di Masjid Al-Falah USJ, Subang Jaya, Selangor selepas jam 6.30 petang ini dan dijangka dikebumikan selepas Isyak.

Allahyarham dikenali sebagai pejuang kebebasan akhbar dengan penentangannya terhadap tindakan Umno untuk menguasai akhbar Utusan Melayu dengan memimpin mogok Utusan pada Julai 1961.

Tersingkir dari Malaya, pejuang demokrat tulen ini juga dipenjara tanpa dibicarakan selama 17 tahun di bawah ISA ketika Lee Kuan Yew menjadi Perdana Menteri Singapura.

Dituduh sebagai berhaluan kiri, beliau yang pernah dilantik sebagai Ketua Umum Parti Rakyat Singapura itu kemudiannya dibebaskan pada 22 Ogos 1979.

Pengalaman dan pembabitan Said dalam perkembangan politik dan persuratkhabaran sebelum ini dirakamkan dalam buku memoir bertajuk “Meniti Lautan Bergelora: Sebuah Memoir Politik” terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2001.

Lim Kit Siang, penulis A Shukur Harun dan aktivis Adam Adli antara yang hadir memberi penghormatan terakhir. Foto - Fazallah Pit

TAGS