Malaysia Dateline

Saifuddin Abdullah tambah senarai lebih 30 ahli politik dijangkiti Covid-19

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah disahkan positif Covid-19 setelah mendapat keputusan ujian saringan pada malam tadi.

Pejabat Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, pemimpin Bersatu itu akan menjalani tempoh kuarantin mengikut saranan dan pemantauan rapi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Buat masa ini, beliau sedang menjalani kuarantin di rumah sementara menunggu kemasukan ke wad di hospital,” katanya.

Tambah kenyataan itu, sepanjang tempoh rawatan dan kuarantin, Saifuddin akan terus memantau dan memastikan urusan kementerian berjalan lancar.

Sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September 2020, kes jangkitan Covid-19 melonjak termasuk dalam kalangan ahli politik.

Lebih 30 ahli politik dilapor disahkan positif Covid-19, antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri; Ahli Parlimen Jeli dari Bersatu, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dan Ahli Parlimen Titiwangsa dari Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd Harun merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.