Malaysia Dateline

Saifuddin hidap Covid-19 tahap tiga, isteri tahap dua

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah telah dikatakan menghidap Covid-19 tahap tiga seperti dimaklumkan isterinya, Datin Norlin Shamsul Bahri.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Norlin memberitahu dirinya pula mengalami Covid-19 tahap dua sambil menegaskan virus pandemik itu benar-benar wujud.

“Dia (Virus Covid-19) akan serang satu-satu organ dalam badan. Semua jadi tak selesa. Badan jadi sakit-sakit.

“Dalam jaga SOP pun kami kena. Kami redha. Jadi, anda semua jangan mintalah nak dapat Covid-19,” katanya.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota, Pahang itu disahkan positif Covid-19 selepas mendapat keputusan ujian saringan malam, 28 April lalu.

Setiausaha Bersatu Pahang tersebut kemudiannya menjalani tempoh kuarantin mengikut saranan dan pemantauan rapi Kementerian Kesihatan (KKM).

Untuk rekod, terdapat lima tahap jangkitan Covid-19 dengan tahap satu tidak menunjukkan sebarang gejala manakala pesakit tahap dua bergejala ringan tetapi tiada radang paru-paru.

Selanjutnya, pesakit tahap tiga adalah bergejala dengan mengalami radang paru-paru.

Sementara itu, pada tahap empat pula pesakit bergejala, mengalami radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen.

Tahap lima iaitu akhir pula berlaku apabila pesakit bergejala kritikal dan memerlukan rawatan intensif di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Semalam setakat jam 12 tengah hari, sebanyak 176 daripada 337 pesakit yang dirawat ICU di seluruh negara memerlukan bantuan alat pernafasan.

Jumlah 337 kes ICU itu antara 29,631 kes aktif dengan kebolehjangkitan dikesan manakala 15 kes kematian lagi direkod menjadikan jumlah kumulatif 1,521 kes kematian.