Saifuddin jamin hapus Auku, Akta Hasutan

Saifuddin jamin hapus Auku, Akta Hasutan

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah memberi jaminan akan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) serta beberapa akta lain.

Bagaimanapun, ujarnya, akta tersebut akan diganti dengan peruntukan lain bagi memperkasakan peranan warga universiti.

“Kita (Kerajaan Pakatan Harapan) akan memansuhkan Auku dan lain-lain termasuk Akta Hasutan.

“Auku akan diganti dengan akta yang baru bagi tujuan pemerdayaan pensyarah dan mahasiswa,” jelasnya pada Bicara Persada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.

Beliau yang pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi (2008-2013) ini berkata, kebebasan akademik akan diteliti semula agar warga kampus tidak berada dalam situasi terancam.

“Kita kena takrifkan semula kebebasan akademik termasuk aspek mengajar sehingga berkongsi ilmu tanpa rasa ketakutan.

“Itu harus diberi sebaik-baiknya,” tegasnya dalam forum yang dimoderatorkan pensyarah kanan UKM, Prof Madya Datuk Dr Mohd Agus Yusof.

Pakatan Harapan (PH) dalam tawaran 100 harinya pada PRU-14 lalu antara lain menyebut akan memansuhkan undang-undang yang bersifat menindas antaranya Auku.

Turut menjadi ahli panel Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM, Prof Dr. Mohd Fuad Mat Jali; Felo Penyelidik Utama, Institut Kajian Etnik (Kita), UKM, Datuk Dr Denison Jayasooria dan Exco Pemuda Umno, Shahril Suffian Hamdan.