Malaysia Dateline

Saifuddin sahkan Azmin masih anggota PKR

Walaupun desas-desus mengatakan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dijangka akan menyertai parti lain dalam masa terdekat, Menteri Hal Ehwal Ekonomi tersebut dikatakan setakat ini masih kekal sebagai ahli PKR.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tiada sebarang maklumat setakat ini yang menyatakan Azmin akan menyertai Bersatu bersama-sama 10 Ahli Parlimen PKR seperti yang diuar-uarkan.

Saifuddin berkata, beliau tidak boleh bergantung kepada berita tidak sahih seperti itu termasuk yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp.

“Azmin adalah anggota PKR pada saat ini, kedepan saya tak tahulah… Sudah berlaku (keluar) belum? Belum (kan)..bila dah berlaku nanti datang dan tanya saya balik.

“Ia kekal maklumat yang begitu (desas-desus), yang tertakluk kepada pengesahan. Saya tak dapat komen ya atau tidak kerana saya harus berpandukan maklumat daripada sumber yang sahih iaitu yang dimaklum atau dibentangkan dalam mesyuarat-mesyuarat parti,” katanya.

Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata demikian selepas menyampaikan watikah Penyelaras Kepenggunaan Parlimen (PKP) Zon Utara, di Alor Setar hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak dijangka akan menyertai Gerakan dalam masa terdekat dan masih berbincang dengan kepimpinan parti tersebut.

Sebelum ini, Azmin kononnya akan membawa 10 pemimpin PKR menyertai Bersatu sebelum dinafikan setiausaha politiknya Hilman Idham.

Hilman yang juga Adun Gombak Setia menganggap desas-desus bahawa Azmin akan meninggalkan PKR sebagai fitnah yang dilakukan oleh pihak yang kalah.