Malaysia Dateline

Saintis beri amaran virus mirip selesema babi di China boleh jadi pandemik

Ketika Covid-19 masih mengganas, saintis di China dilapor mengenal pasti satu virus baharu yang dipercayai berpotensi menjadi pandemik.

Penemuan itu susulan dua individu baru-baru ini yang dilapor dijangkiti virus mirip selesema babi H1N1 yang pernah melanda dunia pada 2009.

Pandemik merupakan penyebaran penyakit berjangkit di seluruh dunia. Wabak boleh dikategorikan sebagai pandemik apabila merebak ke kawasan yang besar, menjangkiti sejumlah besar mangsa dan menyebabkan banyak kematian.

Dalam sejarah, terdapat sejumlah penyakit berbahaya yang pernah berada pada tahap pandemik iaitu cacar, tuberkulosis, black death yang membunuh lebih 75 juta orang.

Covid-19 yang melanda dunia pada masa sekarang menjangkiti lebih 10.4 juta orang dengan tiga negara paling teruk terjejas iaitu Amerika Syarikat, Brazil dan Rusia.

Setakat hari ini, pandemik Covid-19 mengorbankan lebih 500,000 nyawa.

Jurnal Prosiding Akademi Sains Nasional Amerika Syarikat (PNAS) menyatakan manusia didapati tidak mempunyai kekebalan terhadap virus yang diberi nama G4 EA H1N1 itu.

Saintis menjelaskan vaksin influenza sedia ada tidak merangkumi virus G4 EA H1N1 setakat ini.

“Adalah menjadi kebimbangan sekiranya jangkitan itu merebak dan meningkatkan risiko wabak.
Tinjauan epidemiologi mendapati kedua-dua pesakit mempunyai jiran yang memelihara babi,” dedah tulisan ilmiah itu.

Babi kepada manusia 

Dalam masa sama, katanya, virus G4 EA didapati boleh berjangkit daripada babi kepada manusia, menyebabkan jangkitan teruk dan kemungkinan membawa maut.

Saintis berkata 10.4 peratus (35 daripada 338) pekerja di ladang babi itu telah diuji dan didapati mempunyai antibodi untuk virus tersebut.

“Jangkitan seperti ini meningkatkan kemungkinan adaptasi virus itu dalam kalangan manusia, dan menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan terjadinya pandemik,” kata para saintis.

Walaupun tidak diketahui tahap bahaya atau apakah ia boleh merebak seperti virus SARS-CoV-2 penyebab Covid-19, penyelidik memberi amaran virus ini perlu diberi perhatian.