Malaysia Dateline

Saiz ‘epidemic’ COVID-19 Malaysia lebih besar

Saiz epidemik Covid-19 Malaysia sebenarnya lebih besar dari apa yang diketahui.

Demikian dinyatakan oleh Pengarah Komunikasi AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria.

Jelas beliau, diakhir fasa 1 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan akan lakukan ‘mass screening’ antara 16,000 hingga 20,000 sehari bermula fasa 2 PKP atau awal April.

Malah kata Dr Zaidi, ini menghampiri ‘mass screening’ yang dilakukan oleh Korea Selatan yang tidak melakukan MCO atau Lockdown dan ternyata Korea Selatan telah berjaya mengawal pandemik Covid-19.

“Malaysia bagaimana pun belum menjalankan ‘mass screening’ sepertimana yang dijelaskan oleh KKM antara 16,000 hingga 20,000 ujian sehari. Kita masih lagi menjalankan ujian keatas kumpulan sasaran yang berisiko dan besar kemungkinan limitasi utamanya keupayaan makmal-makmal melakukan ujian amat terhad.

“Berdasarkan ujian yang dibuat antara 1 hingga 6 April, purata ujian sehari adalah 10,850 tetapi purata keputusan ujian diperolehi sehari adalah 2708.Ini bermakna hanya 25 peratus sahaja keputusan diperolehi, manakala 75 peratus lagi masih lagi tertangguh atau ‘pending’ keputusannya.

“Pada tarikh 1 hingga 6 April jumlah ujian adalah 65,000 dan jumlah keputusan yang diperolehi hanyalah sebanyak 16,251 dan selebihnya masih lagi ‘pending’.Sementara itu daripada 16,251 keputusan ujian diperolehi 1,027 atau 6.32 peratus adalah positif ataupun purata 171 positif sehari, ” tegas beliau.

Tambahnya lagi, sekiranya setiap hari dilakukan 10,850 ujian sehari dan mendapat keputusan ujian 10,000 sehari, maka keputusan positif yang lebih besar dan sebenarnya akan diperolehi.

Kesimpulannya kata Dr Zaidi, seandainya dilakukan ‘mass screening’ 20,000 ujian sehari dengan memperluaskan ‘target’ sasaran kumpulan dan mendapat keputusan ujiannya 100 peratus pada hari yang sama, sudah pasti keputusan positif yang lebih besar.

Sejajar dengan itu ujar beliau, untuk membandingkan Malaysia dengan Korea dan Kanada yang melakukan ‘mass screening’ adalah tidak tepat.