Malaysia Dateline

‘Saiz Kabinet besar sampai rakyat tak kenal siapa menterinya’ – Faiz Fadzil

Saiz Kabinet Perikatan Nasional (PN) yang besar menyebabkan rakyat sehingga hari ini ada yang tidak mengenali menteri dan timbalan menteri di satu-satu kementerian.

Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Faiz Fadzil berkata, ini terhasil dari ‘scheme of things’ yang diamalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menawarkan jawatan dan kedudukan kepada pihak yang menyokongnya.

Akibatnya beliau berkata, bukan sahaja menteri, bahkan timbalan menteri juga kebanyakannya tidak berfungsi apatah lagi apabila terdapat dua timbalan menteri di dalam satu kementerian.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ada dua timbalan. Yang kita dapat lihat cuma Ketua Pengarah Kesihatan sahaja yang bertungkus lumus bersama pegawai KKM untuk menangani masalah Covid-19.

“Lihat pada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Banyak lagi kementerian yang tidak menunjukkan kredibiliti dan gerak kerja mereka kepada rakyat.

“Sebab itu rakyat menjadi marah, walaupun pada awalnya kononnya PN ini sebuah kerajaan Melayu Islam,” katanya dalam siaran langsung di Facebook The Perspektif semalam.

Faiz berkata, jika dahulu rakyat seronok dengan prestasi kerajaan PN, namun kini mereka sudah mula mempertikaikan kredibiliti dan komitmen para menteri dalam menangani masalah ekonomi negara.

Menurutnya, rakyat juga semakin terkesan dengan kejatuhan ekonomi terutama apabila kadar pengangguran negara meningkat hampir kepada 780,000 orang.