Malaysia Dateline

Sajat buat laporan produk bengkung ditiru

Nur Sajat Kamaruzzaman hari ini menghantar laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berikutan dakwaan produk bengkungnya ditiru pemborong.

Sajat berkata, dua edisi produk bengkung yang dihasilkan secara tiruan sejak tahun lepas itu dikesan dijual di sekitar Kuala Lumpur, Lembah Klang dan yang terbaru di Singapura.

Katanya, serbuan telah dilakukan pada Mei lalu bersama pihak berkuasa dan mendapati salah satu bekas stokisnya turut menjual produk bengkung tiruan yang menggunakan nama dan wajahnya bagi mempromosi bengkung tersebut

“Pada bulan puasa lalu, saya mengalami kerugian hampir 70 peratus dari hasil pendapatan sebenar. Jika dibandingkan dengan pendapatan pada bulan puasa tahun lalu, saya boleh dapat sehingga RM20,000

“Jika stokis dan ejen kebiasaannya mengambil sehingga 400 unit bengkung sebulan, namun sekarang mereka hanya mengambil 100 unit sahaja.

“Semasa melakukan serbuan di sekitar KL dan Klang juga saya mendapati bekas stokis saya antara salah seorang yang menjual produk tiruan tersebut,” katanya.

Tambahnya, kesan dari penjualan produk tiruan yang menggunakan jenamanya, beliau mendapat pelbagai aduan dari pengguna yang memaklumkan mereka memakai bengkung tersebut sehingga tercedera.

Sehubungan itu, katanya, laporan dibuat ke KPDNHEP supaya pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas ke atas individu yang dengan sengaja meniru produknya untuk menjana keuntungan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, Azeem Nazuri mengesahkan menerima laporan yang dibuat Nur Sajat.

Katanya, pihaknya akan meneliti laporan tersebut sebelum tindakan selanjutnya di ambil.

“Saya sudah terima laporan ini dan kita akan teliti aduan sebelum siasatan dilakukan. Kita akan berbincang dengan wakil peguam dan pihak pemilik cadangan.

“Aduan seperti ini merupakan yang pertama kali kami terima di KL. Tindakan susulan akan diambil bergantung pada kelengkapan dokumen. Siasatan akan dilakukan di bawah akta perihal dagangan 2011,”ujarnya.