Sajat dihalau balik Australia visa ke Singapura tak lulus, sedih tak dapat jumpa anak

Oleh NASUHA RAHMAN

Usahawan kontroversi, Muhammad Sajjat Kamaruddin atau Sajat dihalau balik ke Australia sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura semalam kerana permohonan visa untuk masuk ke negara itu masih belum diluluskan.

Dia sepatutnya pergi ke Singapura bagi menghadiri ekspo perkahwinan dan bercadang untuk bertemu dengan anak-anaknya di sana.

“Saya tersangkut di lapangan terbang Singapura, nak jumpa anak-anak pun tak dibenarkan. Sedih sangat, permainan pun kena bawa balik tak dibenarkan serah pada anak.

“Saya hormat undang-undang, sebab visa saya masih lagi belum selesai,” katanya dalam hantaran di TikTok.

Sajat berkata demikian menerusi hantaran video di platform TikTok miliknya yang turut memperlihatkan dia sedang membuat panggilan video bersama anaknya.

Menerusi hantaran sama, Sajat berkata, dia sudah melakukan yang terbaik untuk kembali bersatu dengan dua anaknya itu namun terpaksa akur dengan undang-undang Singapura.

Terdahulu, Sajat berkongsi keterujaannya di TikTok apabila akan menyertai ekspo tersebut bermula 16 hingga 18 September ini.

Kata Sajat, dia terlalu merindui anak-anaknya dan kehadirannya di Singapura adalah satu-satunya peluang untuknya bertemu dengan Syaza dan Syahmi.

“Ummi dah buat terbaik untuk kita berjumpa. Ummi datang jauh-jauh untuk jumpa anak-anak Ummi. Ummi akur dengan keputusan, maafkan Ummi sayang.

“Dua tahun kita tidak berjumpa, Ummi nak sangat jumpa anak-anak Ummi. Ini sahaja peluang yang Ummi jumpa anak Ummi. Maafkan Ummi sayang. Ummi kena hantar balik ke Australia,” luahnya.

Terdahulu, tular video memperlihatkan Syaza dan Syahmi muncul di atas pentas program berkenaan sambil menangis menahan kerinduan terhadap Sajat sambil ditenangkan oleh pengacara, Roslan Shah.

Sajat yang sebelum itu dalam menahan sebak ketika muncul dalam video siaran langsung memberitahu tidak sabar untuk bertemu dengan anak-anaknya dan dalam perjalanan ke Singapura.

Usahawan itu dilaporkan bakal membuat kemunculan di acara itu pada Jumaat lalu namun kelibatnya langsung tidak kelihatan.

Nur Sajat memilih untuk memulakan kehidupan baru di Australia sejak Oktober tahun lalu kerana berasa tidak selamat tinggal di Malaysia.

Nur Sajat sebelum itu menjadi buruan pihak berkuasa sehingga melarikan diri ke Thailand sebelum ditahan oleh pihak Imigresen pada 8 September 2021 kerana memiliki pasport tidak sah.

Ketika itu, Sajat mengemukakan kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi pelarian (UNCHR) sebelum berhijrah ke Australia.

Baca juga: Sihir tak berkesan, isteri upah 5 lelaki tetak suami sampai mati kerana hilang sabar 10 tahun jalin hubungan sulit

Baca juga: Pemandu SUV tersepit, rentung dalam kenderaan