Sibuk bermain cinta dengan isteri orang, seorang peniaga cedera dipukul dengan penyapu dan getah paip selepas hubungan mereka dihidu suami wanita terbabit.
Sakit masih belum hilang, wang milik peniaga berjumlah RM15,000 turut dikebas suami wanita berkenaan lapor Berita Harian.
Sumber berkata, peniaga berusia 20-an itu berkenalan dengan wanita berkenaan melalui aplikasi Whatsapp sejak dua bulan lalu sebelum menjalinkan hubungan istimewa.
Masih meneruskan hubungan terlarang hingga dihidu suami, peniaga berkenaan disuruh datang ke rumah suspek di daerah Jempol.
Sebaik tiba di rumah pada pukul 1 pagi, lelaki tersebut dipukul oleh suami wanita dan lima ahli keluarga yang lain.
Selepas dipukul di bahagian badan dan kepala, suspek meminta kad bank serta nombor PIN peniaga tersebut sebelum mengeluarkan wang sebanyak RM15,000.
Sumber berkata, enam suspek berusia 17 hingga 28 tahun itu sudah ditangkap polis dan direman bermula 24 Januari lalu.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook, mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 384 akta yang sama.