Malaysia Dateline

Sakitnya angka 11 kepada Najib

Menjelang PRU14, ketika orang berteka-teki bila Parlimen akan bubar, tarikh 11 haribulan atau angka 11 gabungan hari dan bulan adalah antara sembang politik yang riuh.

Lalu, pada hari Parlimen bubar 7 April 2018, Bernama membuat laporan tentang Najib dan angka 11. Sebuah media menyiarkan laporan itu dengan tajuk: Najib Razak, angka ‘sakti’ 11, pembubaran Parlimen.

“Ramai yang dapat mengesan betapa angka 11 mempunyai tempat yang amat istimewa di hati Datuk Seri Najib Razak – yang sememangnya diketahui ramai merupakan angka kegemaran beliau – apabila beliau memilih tarikh bagi pembubaran Parlimen,” kata laporan itu.

Hari ketujuh dalam bulan keempat. Tujuh campur empat – sebelas.

Laporan itu kemudian menghuraikan kenapa Najib suka angka 11: hari lahir ayahnya (11 Mac 1922), hari lahir ibunya (11 Jun 1933), hari lahir anak sulungnya, dan hari penubuhan Umno, parti yang pernah beliau pimpin.

Najib juga menteri besar Pahang ke-11 dan bergelar Orang Kaya Indera Shah Bandar Ke-11.

Macam-macam kisah tentang Najib dan angka 11, sehingga penjilat ahli politik yang cuba memukat untung selalu menghadiahkan beliau misalnya jersey bola sepak malah nombor plat khas kereta dengan angka 11.

Hari ini, lebih kurang pukul 11 pagi pada hari kesebelas dalam bulan kesebelas tahun masihi, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Najib membela diri atas tujuh tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram.i

Saktinya angka 11 kepada Najib.

*Penulis  editor portal berita The Malaysian Insight. Catatan pendek ini daripada akaun FB beliau.