Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli akhirnya mendedahkan masalah kesihatan dialaminya sehingga perlu dirawat di Pusat Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Berdasarkan hantaran dimuat naik di laman Facebook, Rafizi Ramli memaklumkan dirinya disahkan menghidap masalah stenosis yang berkait rapat dengan tulang belakang.
Ahli Parlimen Pandan itu juga perlu menjalani pembedahan dan dirawat di hospital tersebut selama dua minggu sebelum dijangka kembali bertugas pada Mac depan.
“Diagnosis daripada ujian MRI (imbasan pengimejan resonans magnetik) menunjukkan tulang belakang saya mempunyai masalah stenosis.
“(Maksudnya) ada tekanan dari slipped disc yang menekan saraf dari depan manakala ligamen yang memegang tulang belakang pula (menekan saraf dari belakang) sehingga ruang saraf mengecil dan ditekan berpanjangan.
“Alhamdulillah, pembedahan untuk membuka ruang kepada saraf dengan memotong sebahagian ligamen slipped disc berjalan baik. Saya juga boleh berjalan semula,” kongsi ahli politik berusia 47 tahun itu.
Menyifatkan kesakitan yang dialaminya terasa hingga ‘ke langit’, Rafizi menjelaskan bahawa tekanan terhadap slipped disc itu bermula pada minggu ketiga Januari lalu.
Ketika kejadian, Timbalan Presiden PKR itu dijangkiti Covid-19 buat kali pertama lalu terlantar beberapa hari sehingga menyebabkan kesakitan pada tulang belakangnya.
“Saya tidak pernah dijangkiti COVID sebelum itu. Jadi akibat terlantar beberapa hari, tekanan ke atas tulang belakang saya telah menyebabkan berlakunya slipped disc.
“Keadaannya memuncak selepas beberapa minggu sehinggakan saya tidak lagi boleh berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda. Sakitnya memang ke langit.” Ulas Rafizi Ramli lagi.
Dalam hantaran sama, Rafizi Ramli juga turut menzahirkan penghargaan terhadap kakitangan UPM dan orang ramai yang mengambil berat mengenai kesihatannya.
“Terima kasih kepada yang menghantar mesej. Saya selalunya tidak berkongsi perkara yang dianggap peribadi, seperti masalah kesihatan. Tetapi saya tahu ada kawan-kawan yang bimbang.
“Jadi lebih baik saya berkongsi sedikit sebanyak supaya dapat disampaikan kepada mereka yang ambil tahu. Terima kasih kepada pakar-pakar dan kakitangan Pusat Perubatan UPM yang merawat saya.
“Insya Allah, saya akan kembali semula ke pejabat dalam bulan Mac 2024 dan YBM (sesi audio siar atau podcast Yang Bakar Menteri) akan ke udara semula.” Tambahnya.