Malaysia Dateline

Saksi pendakwaan pertama kes Bella kemuka surat tuntutan

Peguam kepada saksi pendakwaan pertama kes dera Bella, Zurianty Sudin telah mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada individu yang mengeluarkan komentar berbaur fitnah.

Menurutnya, beliau telah memberikan segala bukti penting seperti tulisan berbaur hasutan, sub-judice, fitnah dan komentar negatif dengan tujuan menganggu emosi saksi kepada pihak polis.

Turut diserahkan kepada pihak berkuasa adalah pendedahan intipati prosiding mahkamah yang sebenarnya tidak boleh dipaparkan kepada umum.

“Untuk saudari yang terpaling saksi dan terpaling tahu kejadian ‘lakonan semula’ dari saksi/pelapor ni pula, peguam saya telah hantar Letter Of Demand (LOD) kepada beliau pagi ini.

“Kita tunggu dalam masa 14 hari apakah jawapan atau tindakan beliau. Kita kasi la dia Raya dengan gembira dahulu,” katanya hari ini menerusi hantaran di Facebook beliau.

Zurianty, 39, yang sebelum ini rakan baik kepada pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali berkata, ‘dosa’ beliau sehingga difitnah hanya kerana menjumpai Bella dalam keadaan menyedihkan sebelum membuat laporan polis.

“Dituduh macam-macam tu sangat remeh. Tak perlu dilayan. Cuma, apabila fitnah melampau, melibatkan kredibiliti saya sebagai saksi, melibatkan anak-anak saya, mestilah saya kena bertindak,” tegasnya.

Dalam laporan polis yang dibuatnya pada 24 Jun 2021, Zuriaty memberitahu remaja Sindrom Down, Bella mengalami kecederaan seperti melecur di bahagian tangan, dada, paha dan beberapa bahagian lain serta kesan luka lama terdapat pada tubuh badannya.

Beliau ketika prosiding Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bulan lalu berkata, Siti Bainun menjadikan Bella sebagai anak angkat pada Julai 2020.

Sejak itu, jelas Zurianty, remaja OKU yang baik dan boleh menguruskan diri sendiri seperti solat serta sangat pembersih itu berada di bawah tanggungjawab dan tinggal bersama Siti Bainun.

Baca Aktivis bela Bella persoal JKM Wilayah kerjasama dengan ‘orang kuat’ Siti Bainun

Baca Remaja ditemukan meninggal di dalam kereta