Malaysia Dateline

Salah guna kuasa: PH gesa Idrus Harun perjelas mengapa Tajuddin masih belum didakwa

Kegagalan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun mengambil tindakan dalam kes salah guna kuasa membabitkan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, menunjukkan bahawa beliau sendiri telah menyalahgunakan kuasanya.

Majlis Presiden Pakatan Harapan dalam satu kenyataannya berkata, tindakan pendakwaan yang masih belum difailkan biarpun selepas enam bulan berlalu, membuktikan peguam negara cuba melakukan pendakwaan terpilih yang bermotif politik.

PH berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri masih sedang menunggu arahan peguam negara untuk mendakwa Tajuddin,

“Pada ketika YB Pasir Salak bakal menjadi duta Malaysia ke Indonesia, isu penahanan beliau oleh SPRM ini mungkin akan mewujudkan persepsi amat buruk terhadap negara.

“Adakah penghormatan tertinggi diberikan kepada sebuah negara jiran penting apabila Malaysia melantik seorang duta besar yang pernah ditahan kerajaan sendiri atas dakwaan salah guna kuasa?,” soalnya.

Sebelum ini, bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Tajuddin ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna kuasa.

Kenyataan tersebut dibuat bersama antara PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; AMANAH, Mohamad Sabu; DAP Lim Guan Eng; dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau.

PH juga memaklumkan bahawa pihaknya telah meneliti tindakan Idrus Harun sejak beliau membatalkan rayuan terhadap pembebasan Ahli Parlimen Umno, Tengku Adnan Mansor dari dakwaan rasuah melibatkan penerimaan RM2 juta dari seorang ahli perniagaan pada 2016.

Menurutnya, ahli perniagaan tersebut telahpun mengaku bersalah dan didenda kerana memberi sogokan
kepada Tengku Adnan.

Justeru katanya, Majlis Presiden PH amat kesal kerana sehingga hari ini Idrus Harun masih belum lagi memberi sebarang penjelasan terhadap tindakannya itu.

“Oleh itu, kami menggesa peguam negara untuk segera memberi penjelasan mengapa YB Pasir Salak tidak dihadapkan ke mahkamah.

“Sekiranya beliau gagal mendakwa YB Pasir Salak, maka peguam negara tidak layak memegang jawatan penting ini,” katanya lagi