Malaysia Dateline

Salah kenakan PSC yang sama di KLIA, KLIA2 , kata AirAsia

– AirAsia Malaysia berkata ia berpegang tegas dengan pendirian dan pendapatnya bahawa keputusan mengenakan caj khidmat pelanggan (PSC) yang sama di KLIA dan klia2 pada asasnya adalah salah dan melanggar prinsip tiada diskriminasi harga.

Ketua Pegawai Eksekutif Riad Asmat berkata syarikat penerbangan tambang rendah itu mengekalkan pendapatnya  bahawa sepatutnya terdapat dua tahap perkhidmatan berbeza di KLIA (premium) dan klia2 (tambang rendah).

“Kami juga berpendirian bahawa Lembaga Wakil Syarikat Penerbangan (BAR) mewakili hanya kepentingan syarikat penerbangan perkhidmatan penuh dan bukannya syarikat penerbangan tambang rendah.

“Syarikat penerbangan yang merupakan  anggota BAR sudah mengenakan caj tambang premium kepada penumpang mereka,” katanya dalam kenyataan, sebagai respons kepada kenyataan Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) semalam.

Riad turut mengambil perhatian bahawa BAR tidak boleh menguatkuasakan standard mereka ke atas syarikat penerbangan tambang rendah, yang beroperasi dalam segmen yang berbeza.

MAHB semalam mendakwa kadar PSC di Malaysia terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Penerbangan Malaysia dan syarikat itu tidak menentukan, menetapkan atau mengawal kadar PSC.

Pertikaian berlarutan antara kedua-dua syarikat itu semakin memuncak apabila AirAsia Group Bhd menyerahkan notis kepada Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MASSB) bagi menuntut hampir RM480 juta bagi kerugian ditanggung daripada beroperasi di klia2.

Sebelum itu, Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd memfailkan saman sivil terhadap AirAsia bagi caj khidmat pelanggan tertunggak.

— BERNAMA