Malaysia Dateline

Salahkan rakyat selepas ‘sedap’ makan gaji elaun, bidas Pyanhabib

Deklamator dan penyair tersohor, Pyanhabib turut menyelar Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin yang menyalahkan rakyat sebagai punca kepada kemelut politik pada masa ini.

Pyanhabib atau nama sebenarnya Mohd Supyan Abdul Rahman menyifatkan wakil rakyat Umno-BN itu sebagai ‘sedap’ berbuat demikian selepas menikmati pendapatan tinggi hasil berada dalam kerajaan.

Dalam corentan terbaharunya, pemilik kumpulan puisi Balada Pyanhabib (2012) itu menggambarkan luahan rasa tidak puas hati anak muda yang menjadi penyanyi jalanan bagi menyara hidup dan menanggung ibu.

Terdahulu, Zahidi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar ketika diminta mengulas titah Yang di-Pertuan Agong agar ahli politik berhenti bermain politik, mendakwa undian rakyat pada PRU14 menyebabkan kedudukan politik sekarang 50-50.

Bahkan, ahli politik yang pernah kecoh dengan isu tuduhan terhadap penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin itu menganggap ahli politik hanya mahu membetulkan keadaan selepas rakyat membuat ‘salah’.

Berikut reaksi ‘pedas’ Pyanhabib yang juga pelakon filem drama muzikal, Kembara Seniman Jalanan (1986) terhadap kenyataan Zahidi di Facebook miliknya:

1. sedaplah juga apabila timbalan menteri komunikasi salahkan rakyat – baca: orang ramai – sebagai punca kemelut politik berlaku.

2. jenis inilah semasa pilihan raya kalut beri janji kepada rakyat – baca: orang ramai – undi dia, kemudian dengan sedapnya makan gaji elaun sebagai timbalan menteri ahli parlimen bagai, disalahnya rakyat – baca: orang ramai.

3. ‘jahanam!’ jerit seorang anak muda, seorang kutu yang sejak bertahun retinya hanya bergitar dan bernyanyi untuk sara hidup dan bantu ibu.