Malaysia Dateline

Salahuddin Ayub, buku dan sastera

Seorang pemimpin politik perlu memiliki kemahiran orator dan rhetoric. Orator adalah kemahiran berucap yang mampu mencairkan hati dan emosi yang mendengar pidatonya. Tidak semua pemimpin yang bijak menyusun kata-kata mempunyai minat membaca. Akan tetapi mereka yang minat membaca, akan terbawa-bawa kandungan bacaan dalam pidato mereka.

Berkesempatan bertemu dengannya pada hujung minggu lalu, saya bawakan buku terbaharu ‘Menang dan Terbuang. Demokrasi, ‘Deep State’ dan Darurat’ sebagai cenderamata. Sayangnya kami tidak sempat berbual panjang kerana bicara kami bukan soal buku, tapi soal politik masa hadapan di Perak.

Salahudin Ayub salah seorang pemimpin yang suka membaca buku. Sejak kecil lagi, datuk sebelah emaknya sering membelikan buku-buku kepadanya untuk bacaan. Sebagai cucu pertama mereka, Salahuddin sering mendapat layanan istimewa daripada datuk dan neneknya yang tinggal di Serkat. Manakala ayahnya, Cikgu Ayub sememangnya mendidik anak-anaknya dengan suasana ilmu. Hasil penyemaian dari kecil membentuk budaya dalam dirinya.

Sewaktu di Tingkatan Enam, Sekolah Menengah Dato’ Penggawa Barat di bandar Pontian, Salahuddin mengambil mata pelajaran Kesusasteraan Melayu. Ketika itu Salahudin semakin luas pembacaannya kepada karya-karya sastera dan sejarah. Buku-buku yang wajib ditelaah untuk keperluaan subjek itu akan menimbulkan minat kepada bahan-bahan bacaan lain yang mempunyai pertalian dan kaitan dengan sastera dan sejarah.

Karya Pramoedya, Hamka, Rendra, Shahnon dibaca dan ditelaah tanpa jemu. Subjek sejarah dan sastera itu memang memerlukan banyak membaca, berfikir dan merumus kembali bahan yang dibaca.

Membaca novel sastera menajamkan fikiran di sebalik bait-bait kata yang puitis dan jalan cerita yang menarik. Bukan kesudahan sesuatu cerita menjadi kemuncak pembacaan tetapi gaya penceritaan juga satu nikmat pembacaan yang sukar dihuraikan keindahannya.

Kadangkala terpacul dari bibirnya bait-bait kata pengarang itu sewaktu berceramah. Ini menjadikan ucapannya lebih bernilai estiteka daripada sekadar ucapan politik sahaja. Ia menjadikan ucapan politik itu bertenaga dan menyentuh jiwa yang mendengar.

Sewaktu menerajui Dewan Pemuda Pas Pusat, beliau mengarahkan Suhaizan Kayat untuk menyusun perbincangan dan pertemuan dengan tokoh-tokoh bahasa termasuk Datuk Dr. Hassan Ahmad, Prof Dato Dr. Zainal Abidin Wahid, Prof Dato Dr. Aminuddin Wahid, Prof. Dr. Nik Safiah Karim dan lain-lain. Usaha kerajaan untuk melaksanaan penggunaan Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Matematik dan Sains memerlukan bantahan yang menyeluruh.

Tindakan politik tidak bermakna jika tanpa melibatkan tokoh-tokoh bahasa. Mereka semua perlu dilibatkan. Hasilnya daripada pertemuan ini, beberapa tahun kemudian barulah tokoh-tokoh bahasa berada di barisan hadapan menentang pelaksanaan dasar tersebut. Ini termasuk Sasterawan Negara, Dato A. Samad Said dan Datuk Dr. Hassan Ahmad semasa demontrasi anti-PPSMI pada tahun 2009.

Sesuatu fakta disampaikan dengan bahasa yang kasar dan kaku hanya mati sejurus ceramah tamat. Sastera akan menyalut fakta dengan kelembutan dan ketajamannya bagi membuka hati pembaca.

Sebaliknya fakta yang disaluti dengan bahasa indah dari jiwa yang tulus, akan mengetuk pintu hati. Salahudin memahami hakikat itu. Beliau sedaya upaya berceramah seperti sang pengarang berkarya.

Semasa mula berada dalam arena politik, Salahudin mula membaca buku-buku tentang gerakan Islam. Beberapa penerbit tempatan yang menerbitkan buku tersebut seperti Gedung Gua, Dewan Pustaka Fajar, Pustaka Salam, Hizbi Publication dan sebagainya merupakan penerbit yang diminati Salahudin.

Apabila Tajudin Senafi, bekas pekerja Gedung Gua membuka kedai buku, Salahudin antara yang menggalakkannya. Hingga kini hubungan mereka berterusan. Kedai Sarjana Medianya dibuka di lot kedai Pudu raya menjadi persinggahan Salahudin sementara menanti waktu bas berlepas. Kini kedai Sarjana Media sudah berpindah ke Selayang dan lebih menekankan perniagaan secara talian.

Tulisan pimpinan parti juga perlu dihayati. Buku tulisan Fadzil Mohd Noor, ‘Aqidah Perjuangan’ dan tulisan Abdul Hadi Awang ‘Muqadimmah’ ditelaah dan dibahas dalam usrah. Begitulah juga tulisan Pak Natsir, ‘Manhaj Dakwah’, Abu a’la al Maududi, Khalim Siddique, Syed Qutub, Karim Zaidan menjadi rujukan dalam jalan perjuangan. Buku-buku gerakan Islam yang diterjemahkan mempunyai pasaran yang baik.

Karya-karya dari cendiakawan Syiah seperti Ali Shariati, Imam Khoimieni, Murtadha Mutahari juga tidak terkecuali dihadam. Penerbit lama seperti Pustaka Antara juga antara penerbit dan kedai buku yang sering dikunjungi. Di kedai ini yang terletak di Jalan Tunku Abdul Rahman terdapat beberapa buku terbitan Indonesia dijual.

Setelah menjadi pemimpin politik, bidang bacaannya diperluaskan ke bidang yang lebih kritikal seperti falsafah, geopolitik dan ekonomi. Tidak lokek untuk membeli buku yang baik meski mahal. Di rumah dan pejabat parti lamanya di Tingkat 4, Ibu Pejabat Pas di Jalan Raja Laut ada perpustakaannya sendiri.

Setiap Salahudin berpergian ke luar negara antaranya ke Indonesia, beliau tidak akan melepaskan kesempatan untuk membeli buku. Buku-buku di Indonesia banyak bermutu dan harganya pun berpatutan.

Sewaktu berkunjung ke UK, saya bawa Salahudin ke car boot sale yang banyak menjual buku terpakai yang sangat murah. Ada yang dijual 50 pence dan 1 Pound. Salahudin teringin ke pekan Hay on Wye yang mempunyai lebih kurang 40 buah kedai buku.

Pekan itu memang terkenal. Sehari melawat pun tidak akan mampu pergi ke semua kedai itu. Sayangnya, jadual lawatannya sedia padat dan terpaksa menangguhkannya.

Sebuah buku tulisan Karen Armstrong yang bertajuk ‘Islam. A Short History’ saya berikan kepadanya sebagai ole-ole lawatannya ke bumi Inggeris. Tulisan sarjana terkenal ini bukanlah rujukan terbaik untuk sirah nabi Muhamad SAW. Salahudin mempunyai pelbagai buku lain yang lebih beraotoriti dalam sejarah hidup nabi.

Buku-buku untuk kanak-kanak yang dijual di car boot sale itu menarik perhatian Salahudin. Salahudin teringat betapa perlunya tadika-tadika PASTI memiliki bahan bacaan dalam Bahasa Inggeris. Salahudin mencadangkan satu usaha untuk membawa buku-buku yang sesuai ke tanahair kepada beberapa pimpinan komuniti UK.

Sebagai pemimpin politik, beliau banyak menghabiskan masa lapangnya membaca akhbar bagi mengetahui perkembangan semasa. Membaca akhbar hanya untuk mendapat maklumat secara umum.

Salahudin tetap membaca akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian walaupun pemberitaan akhbar itu memberi gambaran negatif terhadap parti. Bahkan, pejabat parti kekal melanggan akhbar tersebut. Begitulah juga akhbar tabloid dan Inggeris. Salahuddin pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Harakah mewakili kuota untuk Dewan Pemuda Pas. Dato Mustafa Ali menjadi Pengerusi. Saya sekadar penulis kepada akhbar parti itu.

Ketika ada beberapa berita atau rencana yang tidak memuaskan hati kami sebagai pimpinan di peringkat Dewan Pemuda Pas Pusat akan terus dinyatakan kepada Salahuddin.

Antara perkara yang sering dibangkitkan adalah liputan berita Anwar Ibrahim dan gerakan reformasi terlalu banyak. Mereka mahukan Harakah lebih memfokuskan perjuangan dan pemimpin parti.

Membaca buku ilmiah tidak boleh ditinggalkan. Ruang yang ada dicari bagi lebih memahami maklumat atau sesuatu isu yang berlaku. Pemahaman ini mudah diperolehi dengan pembacaan buku yang luas. Tanpa bacaan buku yang ilmiah, pemahaman secara menyeluruh sukar diperolehi.

Ulasan tentang demokrasi global, beberapa nama penulis seperti Dhilip Hiro, Seymour Hersh dan lain-lain dijadikan rujukan. Salahuddin membaca persoalan bukan politik tulisan Malcom Warner Macmilan, Konosuke Matsushita, Robert Briford dan lain-lain. Persoalan ekonomi sangat berkait dengan perkembangan politik. Kebangkitan China selepas era Deng Xioping telah mewarnai geo politik dunia. Sebagai ahli politik, bacaan buku terbitan luar negara diperlukan bagi memahaminya lagi.

Tulisan tentang gerakan Islam oleh Oliver Roy, John Esposito yang melihat gerakan Islam secara kritis dan pandangan luar kerangka lokal. Buku Mohamad Assad yang bertajuk ‘Road to Mecca’ antara yang dijadikan rujukan terutama dalam konteks hubungan antara bukan Islam. Topik ini sangat sesuai dalam memahami keadaan kepelbagai kaum di tanahair.

Sebahagian nama-nama penulis tersohor dunia dirakamkan dalam ucapannya sebagai Ketua Pemuda di muktamar. Meskipun ada panel khas yang bertanggungjawab menyediakan teks ucapannya itu, Salahudin mempunyai peranan penting dalam memasukkan beberapa perkara dan petikan kata yang hendak dimasukkan dalam teks ucapannya.

Ada sesetengahnya diselitkan dalam forum, ceramah dan pelbagai majlis. Bahkan dalam interview juga, Salahudin gemar menyelitkan beberapa patah kata dari penulis kegemarannya. Bertemu dengan rakan-rakannya yang mempunyai minat membaca buku, Salahudin gemar berbincang isi dan persoalan yang diketengahkan dalam buku-buku yang dibaca. Semacam acara bedah buku bila mereka bertemu.

Pengetahuan sebagai pemimpin perlu lebih luas daripada orang bawahannya walaupun tidak bermakna pemimpin tahu segala-galanya. Namun kelebihan ini penting bagi pemimpin mampu menyuntik ilmu pengetahuan kepada orang bawahannya.


Buku ‘Menang dan Terbuang’, boleh diperolehi di bit.ly/bukumuhaimin atau WhatsApp Admin 019 6737110.