Malaysia Dateline

Salahuddin bangkitkan isu pembuangan sampah di Kampung Banjaran

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub hari ini di Parlimen telah membangkitkan isu pelupusan sampah di Kampung Banjaran, Kempas, di Johor Bahru.

Timbalan Presiden AMANAH itu berkata, masalah pembuangan sampah di kawasan itu telah berlaku lebih 10 tahun.

Susulan itu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

“Sisa domestik masih di bawah KPKT. Tindakan segera bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan diambil dalam masa terdekat bagi menyelesaikan masalah yang dibangkitkan,” katanya yang juga Timbalan Presiden Pas itu.

Pada 9 Oktober lalu, Salahuddin meninjau kawasan tapak pembuangan sampah haram di kawasan itu dan akan menghantar laporan kepada Menteri Alam Sekitar, Ketua Polis Johor dan Pegawai Daerah Johor Bahru.

Ia susulan aduan penduduk yang mengadu pernafasan mereka terjejas selain keadaan alam sekitar tercemar.

Susulan itu, JAS Johor dalam reaksinya dilapor berkata, tindakan berikutan pencemaran bau di Kampung Banjaran, Kempas itu telah beberapa kali diambil.

Walau bagaimanapun, Pengarah JAS, Dr Mohd Famey Yusoff, berkata pihaknya tidak dapat mengambil tindakan lanjut kerana ia berada di bawah bidang kuasa agensi lain.

Jelasnya, tanah yang dijadikan tapak pembuangan sampah haram itu adalah hak milik persendirian dengan status tanah pertanian.

“Tidak benar berlaku pencemaran sisa toksik di kawasan Kampung Banjaran di Kempas, sebaliknya kawasan tanah persendirian di situ dijadikan tapak pembuangan sampah haram sejak sekian lama,” tambah Mohd Famey lagi.