Malaysia Dateline

Salahuddin dilantik Pengerusi PH Johor dibantu 3 timbalan pengerusi termasuk Rafizi Ramli

Mesyuarat Pakatan Harapan (PH) Johor baru-baru ini memutuskan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Datuk Seri Salahuddin Ayub dilantik sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor yang baharu.

Ahli Parlimen Pulai itu, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram, akan dibantu oleh tiga Timbalan Pengerusi iaitu Pengerusi Amanah negeri Aminolhuda Hassan, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri Rafizi Ramli dan Pengerusi DAP negeri Liew Chin Tong.

Manakala jawatan Setiausaha pula dipegang Faizul Salleh (AMANAH) manakala Bendahari oleh S. Gopalakrishnan (PKR) dan Ketua Penerangan disandang oleh Sheikh Umar Bagharib Ali (DAP).

“Pakatan Harapan Johor mengadakan mesyuarat baru-baru ini bagi memperkemas struktur kepimpinan PH negeri khususnya selepas PKR menyempurnakan kongres tahunan pemilihan parti.

“Hasil keputusan mesyuarat, PH Johor memutuskan Ahli Parlimen Pulai merangkap ADUN Simpang Jeram Datuk Seri Salahuddin Ayub sebagai Pengerusi PH Johor,” menurut kenyataan bersama PH Johor.

PH Johor turut menyatakan kesiapsiagaan jentera parti untuk berdepan segala kemungkinan berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-15 yang boleh diadakan pada bila-bila masa.

Baca juga: Berjaya raih pingat emas Ke 61 hari ini, Johor sasar 70 pingat emas

Baca juga: APMM temui 1,680 tin minuman keras tanpa cukai