Malaysia Dateline

Salahuddin gerakkan jentera bantu petugas keselamatan

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub telah menggerakkan jenteranya untuk memberi sumbangan kepada petugas keselamatan di seluruh kawasan parlimen tersebut.

Beliau ketika dihubungi berkata, pemberian itu adalah sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang menjadi ‘frontliner’ dalam menjaga keselamatan di negara ini.

“Sumbangan ini adalah sebagai terima kasih kami kepada mereka yang bertungkus lumus menjaga keamanan dan keselamatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Selain itu ia juga merupakan pemangkin semangat kepada golongan tersebut untuk terus teguh menjalankan tugas harian mereka.

“Kita maklum dengan risiko yang dihadapi oleh golongan tersebut dan sudah selayaknya sumbangan serta pemberian kelengkapan keselamatan bagi mengelak terdedah dengan virus Covid 19 ini diberikan kepada mereka yang berhadapan dengan pelbagai situasi yang berisiko tinggi,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Pulai, Norhayati Majid ketika dihubungi wartawan berkata sumbangan berbentuk ‘hand sanitizer’, ‘face mask’, sarung tangan dan juga bahan makanan telah diberikan kepada petugas-petugas keselamatan.

Katanya lagi, sumbangan tersebut telah diberikan di beberapa lokasi yang diadakan sekatan jalanraya dan sumbangan kepada khemah-khemah petugas keselamatan telah turut disampaikan.

“Kita telah mendapat panggilan telefon mengenai kekurangan peralatan keselamatan anggota yang bertugas dan hari ini (2 April 2020) parlimen Pulai telah menyediakan kelengkapan tersebut untuk diberikan kepada petugas keselamatan.

“Selain petugas-petugas yang berada di semua sekatan jalanraya, kita juga memberikan sumbangan kepada petugas anggota keselamatan di pusat kuarantin Johor Bahru di Bandar Baru Uda.

“Sumbangan ini telah membabitkan petugas dari Polis Di Raja Malaysia (PDRM) bahagian Tampoi, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan anggota RELA yang berada di lokasi sekatan jalanraya,” ujarnya.

Sumbangan itu dijalankan dengan membabitkan beberapa orang petugas parlimen Pulai yang hadir secara sukarela bagi membantu serta memudahkan proses pengedaran sumbangan tersebut.