Malaysia Dateline

Salahuddin harap usul tergempar pemilikan saham Azam Baki dibahas esok

Ahli Parlimen Pulai Datuk Seri Salahuddin Ayub menggesa satu usul tergempar dibahaskan pada Sidang Khas Parlimen yang akan bersidang esok berkaitan dakwaan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki memiliki saham dengan jumlah yang melampau.

Dalam pemakluman surat usul bertarikh 18 Januari 2022 kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun, Timbalan Presden AMANAH itu berkata, isu tersebut adalah berkenaan kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan, selari dengan peruntukan Peraturan Mesyuarat 18(1)(2).

“Isu tersebut perlu disegerakan untuk menggesa Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) melakukan siasatan lebih lanjut terhadap dakwaan Ketua Pesuruhjaya SPRM memiliki saham dengan jumlah yang melampau seperti yang dilaporkan akhbar rasmi.

“Ini adalah perkara berkenaan dengan kepentingan ramai bagi mengembalikan keyakinan orang awam terhadap SPRM dalam mengekang aktiviti rasuah serta aktiviti yang menjerumus kepada pecah amanah yang mana kerajaan bertanggungan untuk menjawab perkara ini,” katanya seperti dipetik dalam pemakluman usul tersebut.

Esok merupakan sidang Khas Parlimen bagi membincangkan perkara berkaitan kepentingan negara iaitu banjir dan pasca banjir, penyelarasan bantuan kepada Keluarga Malaysia dan perancangan jangka panjang pengurusan bencana banjir.

Ketetapan itu selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.