Salahuddin jangka ada pemimpin Pas sertai AMANAH

Salahuddin jangka ada pemimpin Pas sertai AMANAH

Beberapa pemimpin Pas dijangka akan menyertai AMANAH pada masa akan datang, kata Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Salahuddin Ayub.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, pihaknya juga sedang berhubung dengan beberapa kepemimpinan Pas di semua peringkat yang mungkin boleh menyertai AMANAH kelak.

“Itu (pemimpin Pas menyertai AMANAH) adalah kemungkinan yang saya rasa akan berlaku pada masa akan datang. Akan ada pimpinan dan ahli bawahan Pas bersama AMANAH apabila keadaan begitu ketara iaitu Pas benar-benar menjalinkan hubungan yang begitu intim dengan Umno.

“Ahli-ahli biasa (Pas) yang bawah sudah ramai (menyertai AMANAH). Cuma kita sekarang ini sedang mengadakan hubungan dengan beberapa kepemimpinan (Pas) di semua peringkat yang mungkin boleh bersama AMANAH,” dipetik dari Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Ke-2 AMANAH Kawasan Bakri di Hotel Muar Traders di Muar kelmarin.

Turut hadir, Ketua AMANAH Kawasan Bakri, Mohd Huridin Samuri; Timbalan Ketua AMANAH Kawasan Bakri, Fadzil Othman dan Naib Presiden 1 AMANAH Kawasan Bakri, Nazri Abdul Rahman.

Sementara itu, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Simpang Jeram berkata, pihaknya menyeru ahli AMANAH supaya lebih bersikap positif terutama mengurus kemenangan parti itu dalam konteks dalam mentadbir negara ini.

Menurutnya, segala potensi dan kekuatan yang sudah dibina oleh parti itu harus dijelmakan dalam usaha menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

“Dengan kedudukan lima menteri dan empat timbalan menteri (daripada AMANAH) serta kedudukan kita dalam agensi kerajaan, majlis daerah dan peringkat kampung haruslah dapat menjana kepada parti dan kerajaan kita.

“Paling penting sekali, rakyat akan terkesan dengan kedudukan kita yang rapat dengan mereka dan pada masa sama dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat kelak,” ujarnya lagi.

Lebih ramai ahli Pas dijangka menyertai AMANAH apabila pemimpinnya semakin intim dengan Umno.