Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH), Datuk Seri Salahuddin Ayub akan bertemu dengan pemain industri telur ayam dan minyak masak paket esok.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) tersebut berkata, perjumpaan khas itu bertujuan mengenal pasti situasi sebenar dan mendapatkan maklumat terkini berhubung bekalan kedua-dua barangan berkenaan.
“Saya akan bertemu dengan pemain industri minyak sawit seperti FELDA dan Sime Darby serta lain-lain pada petang esok untuk membincangkan isu bekalan ini kerana perkara berkenaan penting untuk saya dengar sendiri.
“Perjumpaan dengan pemain industri telur ayam pula mungkin pada hari berikutnya supaya saya dapat data dan perbincangan yang cepat,” lapor BH.
Sementara itu, Salahuddin berkata, hasil perjumpaan itu akan meningkatkan hubungan kementerian bersama pemain industri, sekali gus menyelesaikan isu berbangkit termasuk melihat usaha menurunkan harga barangan terbabit.
“Selama ini pun saya mendengar mengenai isu yang menjadi rungutan rakyat dan hari ini, saya menyaksikan sendiri, paling tidak ada dua isu besar yang saya mesti hadapi bersama pasukan kementerian iaitu ketidakcukupan bekalan telur dan minyak masak paket,” ujarnya lagi.
Baca juga Cabutan khas judi dikurangkan dari 22 kali kepada lapan kali mulai 2023
Baca juga Menggelikan! Wanita temui cacing dalam jejari ikan