Salahuddin kekal bertanding di Parlimen Pulai

Pengumuman calon AMANAH Johor bagi zon selatan pada program Jelajah Harapan di Bukit Dahlia, Pasir Gudang.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Haji Salahuddin Ayub telah dicalonkan untuk bertanding sekali lagi di P161 Parlimen Pulai.

Sebelum ini Parlimen tersebut telah menyaksikan Salahuddin tewas kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dengan majoriti 3,226 undi.

Pengumuman tersebut telah dibuat oleh Presiden AMANAH, Haji Mohammad Sabu pada program Jelajah Harapan yang berlangsung di Bukit Dahlia Pasir Gudang Johor.

Selain Salahuddin, AMANAH juga telah mengumumkan calon di kawasan zon selatan yang melibatkan DUN N35 Pasir Raja, N38 Penawar, N49 Iskandar Puteri dan N56 Kukup.

Sebahagian mereka yang hadir pada program Jelajah Harapan di Pasir Gudang baru-baru ini.

Calon-calon AMANAH Johor yang lain adalah, Exco Pemudanya, Abrary Ramly (N35), AJK AMANAH Johor, Ahmad Kamal Noh (N38), Timbalan Pengerusi, Haji Dzulkefly Ahmad (N49) dan Naib Pengerusi, Suhaizan Kaiat (N56).

Barisan calon yang diketengahkan oleh AMANAH Negeri Johor telah mempertaruhkan calon ‘heavy weight’ untuk berhadapan dengan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

AMANAH melalui pengerusinya YB Haji Aminolhuda Haji Hassan berkata, AMANAH telah bersedia untuk turun ke gelanggang dan yakin kepada barisan pimpinan yang ditengahkan.

“Semua yang disenaraikan ini adalah individu yang menjadi struktur utama dalam posisi pimpinan tertinggi AMANAH di Johor.

“Pihak kami yakin dengan barisan calon zon tengah dan selatan ini akan berjaya menampung arus kebangkitan rakyat untuk membantu menang di negeri ini,” ujar Aminolhuda ketika ditemui di program Jelajah Harapan yang turut dihadiri oleh Tun Mahathir dan pimpinan tertinggi parti komponen Pakatan Harapan (PH).

 

4.7
OVERALL SCORE
2 user votes x 7.0