Salahuddin lancar misi pertama bantuan mangsa bencana alam Palu

Salahuddin lancar misi pertama bantuan mangsa bencana alam Palu

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Salahuddin Ayub hari ini melancarkan misi pertama bantuan kemanusiaan Pemuda AMANAH Nasional untuk mangsa bencana alam Palu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Salahuddin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berharap bantuan berupa barangan keperluan itu dapat meringankan kesulitan mangsa bencana alam terbabit.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Pemuda AMANAH Nasional yang dipimpin oleh Sany Hamzan yang tidak dapat dipertikaikan lagi kehebatannya.

“Ini satu usaha yang sangat diperlukan selain memberi bantuan sewajarnya juga membolehkan Pemuda AMANAH lebih bersifat peduli dengan isu-isu antarabangsa,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kumpulan pertama itu secara tidak langsung mengukuhkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

“Bukan sekadar kita menunaikan tanggungjawab dengan isu kemanusiaan tapi mengeratkan hubungan persaudaraan Malaysia – Indonesia pada ketika jiran kita menerima ujian,” ujarnya.

Salahuddin menyerahkan vest kepada Pemuda AMANAH yang akan ke Palu untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan.

Dalam masa sama, beliau juga menghargai komitmen kerajaan Negeri Sembilan yang sebelum ini melancarkan kutipan sumbangan bagi tujuan misi kemanusiaan tersebut.

Sementara itu, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan, Mohamad Taufek Abd. Ghani memberitahu lebih RM40,000 diperoleh hasil kerjasama agensi kerajaan Persekutuan dan negeri.

“Saya cadangkan kepada Menteri Besar untuk bersama-sama menyokong misi bantuan ini.

“Kerajaan negeri juga menghantar dua sukarelawan untuk turut serta,” kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan itu ketika ditemui Malaysia Dateline.

Seramai 13 anggota Pemuda AMANAH Nasional termasuk dua pakar perubatan  dari Pertubuhan Kebajikan Ibnu Sina (Perkis ) Melaka dan sukarelawan menyertai misi bantuan kali pertama ke Sulawesi Tengah ini.

Ustaz Muiz memimpin bacaan doa sebelum rombongan misi bantuan kemanusiaan bertolak ke Sulawesi.