Salahuddin mahu AMANAH terus hidup, pamer rekod baik

Salahuddin mahu AMANAH terus hidup, pamer rekod baik

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub, menzahirkan pengharapan tinggi kepada Pemuda dan ahli AMANAH keseluruhannya untuk memastikan parti Amanah terus hidup dalam negara.

Beliau berkata, Pemuda AMANAH perlu menunjukkan keterampilan dan kebolehan yang lebih baik berbanding kepimpinan parti lain sekiranya mahu bertahan dalam politik negara.

Ini kerana katanya, tidak banyak parti politik yang diberi peluang seperti parti AMANAH.

“Parti ini mesti survive, dan mesti terus hidup. Jangan hiraukan doa mereka yang telah menetapkan tarikh mati kita.

“Jangan main-main dengan perjuangan. Jangan anggap AMANAH ini peluang untuk diremehkan. AMANAH adalah wadah masa depan dan kita perlu memposisikan diri agar tampil kukuh di persada antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Konvensyen Pemuda AMANAH Nasional yang bertemakan Rejunevasi Malaysia Baharu di Dewan Komuniti Batu Muda, Kampung Batu Muda, Kuala Lumpur.

Turut hadir, Naib Presiden AMANAH, Mahfuz Omar; Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Sany Hamzan; Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Muhammad Faiz Fadzil; Ketua Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan, Asmaalif Abdul Adam; Ketua Wanita AMANAH Nasional (AWAN), Aiman Athirah Al-Jundi; Ketua Wanita Muda AMANAH (WARDA), Nur thaqaffah.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu turut memuji pencapaian Menteri AMANAH yang kini menggalas lima jawatan utama kementerian yang dianggap sebagai satu langkah penambahbaikan, sekaligus meletakkan AMANAH di posisi yang lebih baik.

Jelasnya, AMANAH yang berusia empat tahun penubuhan itu diingatkan agar tidak mengulangi kesilapan sama seperti parti lain yang akhirnya terkubur dalam perjuangan mereka.

“Kita cuba yang terbaik. Cabaran terbesar bila kami dilantik sebagai menteri, timbalan menteri dan exco dalam kerajaan, ini merupakan pengalaman baru yang sudah pasti ada juga kelemahan. Tapi kami telah buat penambahbaikan dan meletakkan AMANAH diposisi yang ada hari ini.

“Kalau kita melakukan kesilapan sama, kita akan hancur. Pencapaian yang baik dan aset paling berharga hari ini adalah bila kita diberikan kuasa. Saya boleh katakan, setakat ini tak ada kepimpinan utama menteri dan timbalan menteri terlibat dalam salahguna kuasa,” ujarnya.

Ahli Parlimen Pulai itu turut memberi jaminan, selagi AMANAH berpegang kepada prinsip ketika mahu membuat keputusan besar dengan menghormati peranan Majlis Presiden PH, parti itu akan terus bertahan.