Malaysia Dateline

Salahuddin persoal kenapa kerajaan gagal tarik pelabur

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub mempersoalkan mengapa kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekali lagi gagal menarik pelaburan asing ke dalam negara.

Ini berikutan pengumuman dari syarikat farmaseutikal gergasi Perancis, Sanofi, yang dilapor akan melabur 400 juta euro (USD475.40 juta) selama lima tahun di Singapura.

“Selepas Google dan Facebook memilih Indonesia, sekarang syarikat multi-nasional yang lain lagi memilih negara jiran berbanding kita.

“Apa kurangnya Malaysia?,” soalnya dalam satu hantaran Facebook.

Pada semalam, Sanofi memaklumkan akan membelanjakan 400 juta euro (RM1.9 bilion) untuk membina kilang baharu yang mampu menghasilkan beberapa vaksin serentak.

Sanofi berkata, kilang berteknologi tinggi itu akan dibina di Singapura dan dijangka beroperasi pada suku pertama 2026, manakala pembinaannya akan bermula pada pertengahan tahun ini.

“Kilang baharu itu akan memberi keupayaan kepada Sanofi untuk menghasilkan vaksin yang inovatif pada skala besar untuk Asia, dan boleh bertindak balas dengan pantas terhadap risiko pandemik masa depan,” katanya.

Sementara itu Salahuddin berkata, alasan Covid-19 tidak boleh diterima pakai dalam keadaan pelaburan ke Indonesia dan vietnam juga meningkat.

Beliau juga bertanya sama ada Malaysia yang selektif dalam memilih pelaburan terbaik, atau syarikat muti-nasional yang bersikap selektif.

“Mengapa kita gagal tarik pelaburan asing ini ke negara kita? Syarikat multi-nasional atau Malaysia yang selektif?,” soalnya