Malaysia Dateline

Salahuddin sedia beri keterangan RCI kartel daging import

Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub sedia untuk memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kartel daging import.

“Saya sedia memberikan kerjasama sepenuhnya untuk menjayakan siasatan ini,” kata Salahuddin kepada Malaysia Dateline.

Mesyuarat Kabinet semalam bersetuju untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat isu penyeludupan daging yang menyalahgunakan logo halal.

Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam satu kenyataannya.

Beliau turut menyambut baik hasrat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk menubuhkan Jawatankuasa Perundangan dan Penguatkuasaan Halal.

Salahuddin tidak menolak kemungkinan penglibatan pegawai kanan kerajaan dalam kartel ini sehingga ia begitu berjaya dalam modus operandinya.

“Perkara ini kita kena siasat. Sebab itu saya selaku bekas menteri sangat bersetuju ianya ditubuhkan dan saya akan memberikan kerjsama penuh untuk menjayakan siasatan ini,” kata beliau.

Menurut Salahuddin beliau telah menyedari tentang kewujudan kartel sejak beliau menjadi menteri lagi dan perkara ini telah dibawa oleh beliau ke mesyuarat Majlis Fizikal Negara yang dipengerusikan oleh perdana menteri untuk mengendalikannya.

“Saya mengakui kartel ini memang wujud. PM juga sedar tentang hal ini dan mengakui kartel ini boleh mendatangkan bahaya kepada pihak yang menyekat mereka.

“Saya sendiri telah diberikan pelbagai tawaran termasuk percutian mewah, melawat pusat penyembelihan mereka, pakej perlancongan yang semuanya ditanggung beres.

“Tetapi alhamdulillah saya tidak pernah menerima tawaran tersebut,” kata
Salahuddin lagi.

Terdahulu akhbar berbahasa Inggeris, New Straits Times (NST) melaporkan kewujudan penggunaan logo halal palsu terhadap daging import.

Malah terdapat juga dakwaan mengatakan daging yang diisytihar sebagai daging lembu dan halal itu dikatakan sebenarnya adalah daripada daging kanggaru dan kuda.

Selain itu, kegiatan kartel itu juga didakwa melakukan proses pembungkusan semula dengan bungkusan bercetak logo halal di sebuah gudang di Senai, Johor selepas diseludup dari Argentina, Brazil, China dan Ukraine.