Malaysia Dateline

Salahuddin soal lambakan duit hampir RM1 trilion datang dari mana

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub mempersoal sumber sebanyak hampir RM1 trilion wang negara yang telah dibawa keluar seperti didedahkan Kertas Pandora.

Timbalan Presiden AMANAH itu berkata, hal tersebut akan dibangkitkan dalam sidang Dewan Rakyat bermula pada 25 Oktober ini.

“Kalau wang sebesar ini yang melibatkan tokoh-tokoh politik dan perniagaan dalam negara kita, wang itu datang dari mana?

“Kalau di Mexico, Colombia, mudah dikatakan duit hasil penjualan dadah, pemerdagangan manusia dan pelacuran, tetapi kalau di Malaysia, duit dari mana?

“Sudah tentu, itu adalah duit rasuah, duit hasil salahguna kuasa, penyelewengan oleh pihak-pihak tertentu,” soalnya dalam wawancara khas bersama Malaysia Dateline hari ini.

Terdahulu, pihak International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) dalam pembongkarannya menerusi Kertas Pandora telah memetik beberapa figura penting negara berkaitan pemilikan akaun luar pesisir, sepanjang 25 tahun lalu.

Antara individu terbabit ialah Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ahli perniagaan, Tun Daim Zainuddin bersama beberapa ahli keluarganya serta Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Timbalan Menteri Kewangan, Yamani Hafez Musa.

Zafrul kemudiannya menganggap dakwaan sejumlah RM900 bilion wang telah dibawa keluar seperti didedahkan Kertas Pandora adalah angka yang tidak masuk akal.

Jelasnya dalam program di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kuala Lumpur pada 12 Oktober lalu, jumlah tidak tepat itu diperoleh selepas beliau mengadakan perbincangan dengan agensi berkaitan.

“Saya telah ada mesyuarat dengan agensi berkaitan seperi Bank Negara Malaysia (BNM), LHDN dan sebagainya, nombor-nombor itu tidak masuk akal.

“Sebenarnya kita ada buat kajian. Dari segi undang-undang tidak salah rakyat Malaysia ada akaun luar pesisir, kalau tidak (boleh) kita tutuplah luar pesisir Labuan,” kata Zafrul lagi.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, pembangkang berminat untuk bertanyakan hal tersebut semasa pembentangan RUU Perbekalan (Belanjawan) 2022 akan datang.

“Apabila melibatkan tokoh dari Malaysia, ini yang kita mahu soal di Parlimen walaupun Datuk Seri Anwar gagal untuk membawa isu ini.

“Ingat, minggu depan kami akan kembali masuk ke Parlimen dalam sesi Belanjawan 2022. Kami akan suarakan dalam sidang Parlimen akan datang,” tambah Salahuddin lagi.

Untuk rekod, Mesyuarat Kedua Dewan Rakyat selama 32 hari akan bermula pada 25 Oktober ini dengan tumpuan pada pembentangan Belanjawan 2022 pada 29 Oktober.

Belanjawan tersebut merupakan kali pertama di bawah kerajaan Umno pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.